Ketua PKR Sabah Keluar Parti, Umum Hasrat Sertai UMNO

Diterbitkan: Ahad, 6 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah yang sedang dibelenggu masalah menerima satu lagi tamparan apabila ketua perhubungan negerinya, Pajudin Nordin mengumumkan keluar dari parti dan berhasrat menyertai Umno.

Pajudin, 42, yang belumpun sebulan memegang jawatan tersebut, membuat pengumuman itu dalam satu sidang akhbar bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, di kediaman rasmi ketua menteri di Sri Gaya, petang Sabtu.

Beliau berkata keputusan itu dibuat kerana kecewa dengan kepimpinan pusat iaitu ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan presiden Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang tidak serius dalam menangani masalah-masalah dan isu Sabah.

"Saya kesal kerana Datuk Seri Anwar selama ini mengatakan bahawa beliau menghormati hak-hak negeri Sabah, tetapi tingkah lakunya jelas menunjukkan bahawa beliau mengamalkan 'cakap tidak serupa bikin'.

"Maka saya menganggap PKR di Sabah ini sudah tidak relevan untuk kita jadikan sebagai satu parti masa hadapan atau parti yang dikatakan akan menuju ke Putrajaya .. Maka saya mengisytiharkan diri keluar dari PKR dan melepaskan semua jawatan saya di dalam parti.

"Setelah melihat perkembangan politik, saya seterusnya memohon untuk menyertai Umno dan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Datuk Seri Musa kerana hanya B Nyang telah lama memperjuangkan hak rakyat dan banyak menyumbang kepada rakyat," jelas beliau.

Katanya beliau telah mengemukakan surat perletakan jawatan lewat petang tadi melalui fax, sms, dan e-mail ke PKR pusat dan percaya ramai lagi ahli PKR terutamanya ketua-ketua dan ahli jawatankuasa cabang akan turut serta meninggalkan parti kerana ada yang menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap cara kepimpinan pusat.

"Saya percaya keputusan untuk keluar dari PKR akan disusuli oleh ramai lagi rakan-rakan kepimpinan yang berada dalam PKR Sabah bila melihat senario politik PKR yang kita anggap sebagai satu parti yang sudah kucar-kacir, tidak ada hala tuju dan tidak ada pembelaan daripada pemimpin-pemimpin di peringkat pusat," tambahnya lagi.

Sebelum ini perlantikan Pajudin sebagai ketua PKR Sabah pada 10 Jan lalu, merupakan satu kejutan kerana ini pertama kalinya pemimpin bagi negeri Sabah dilantik dari bukan kalangan ketua-ketua cabang dalam parti itu. Pajudin merupakan naib ketua cabang PKR Tuaran.

Baru-baru ini, 18 daripada 24 ketua cabang PKR Sabah telah membuat bantahan terhadap perlantikan Pajudin yang lebih mesra dikenali sebagai 'ustaz'.

Pajudin yang menyertai PKR sejak 1999 berkata walaupun selepas dilantik sebagai ketua PKR Sabah, beliau tidak pernah mendapat kerjasama dan sokongan dari Anwar dan Dr Wan Azizah, dan ini menunjukkan mereka 'sengaja mempermain-mainkan' pemimpin PKR Sabah.

Ditanya sama ada beliau keluar dari parti disebabkan bantahan daripada 18 ketua cabang terhadap perlantikan beliau, Pajudin berkata: "Tidak. Bagi saya setelah dilantik oleh presiden melalui perlembagaan parti, maka saya anggap perkara itu sudah selesai."

Sementara itu Musa berkata trend satu demi satu pemimpin PKR keluar daripada parti, jelas menunjukkan bahawa PKR dan Pakatan Rakyat tidak relevan lagi di negara ini atau di negeri Sabah, kerana mereka sedar parti itu tidak akan membawa apa-apa manfaat kepada rakyat.

"Saya mengalu-alukan permohonan beliau menjadi ahli Umno ... Kita akan terima permohonannya dan ini kita akan proses seperti biasa," tambah Musa.

Ditanya sama ada Umno Sabah lebih yakin menghadapi pilihan raya akan datang berikutan perkembangan ini, Musa menjelaskan Umno sentiasa bersedia dan mempunyai keyakinan kerana parti itu telah bekerja keras, sentiasa mendampingi dan membantu rakyat.-BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan