Pesawat Herculas TUDM Mampu Terbang 21 Kali Dalam Seminggu

Diterbitkan: Sabtu, 5 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pesawat Hercules C-130 milik Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) yang terlibat dalam misi membawa keluar pelajar Malaysia dari Kaherah, Mesir ke Jeddah, Arab Saudi mampu terbang maksimum tiga kali sehari membawa kira-kira 200 orang setiap penerbangan.

Panglima Operasi TUDM Leftenan Jeneral Datuk Ackbal Abdul Samad berkata tempoh penerbangan dari ibu negara Mesir itu ke Jeddah memakan masa tiga jam dan pesawat memerlukan dua jam lagi untuk memunggah barang dan menurunkan penumpang serta mengisi minyak.

"Jika kita terpaksa menggunakan pesawat itu tanpa henti dalam masa seminggu dari Kaherah ke Jeddah, kita mampu membuat 21 penerbangan menggunakan satu pesawat dan di sana kita sekarang ada tiga pesawat jenis ini," katanya, Sabtu.

Ackbal berkata kini Jeddah dikenalpasti sebagai lokasi terdekat misi "Ops Piramid" yang dilancarkan kerajaan untuk membawa keluar lebih 11,000 rakyat Malaysia terdiri daripada pelajar dan pekerja terus ke pusat transit di Jeddah.

"Dalam jarak kira-kira 1,000 batu nautika (1,217 kilometer), pesawat ini mampu berulang alik dengan membawa muatan penumpang kira-kira 200 orang pada satu-satu masa," katanya.

Menurut beliau, tiga pesawat yang digunakan untuk operasi itu mula diperolehi TUDM pada era 70an dan 90an dan masih digunakan pada hari ini serta berfungsi dengan baik.

Tiga buah pesawat itu dihantar ke Kaherah untuk menerbangkan pelajar dan pekerja Malaysia keluar dari Mesir yang sedang bergolak akibat desakan rakyat supaya Presiden Hosni Mubarak berundur.

Ratusan ribu rakyat Mesir mengadakan demontrasi di beberapa bandaraya utama Mesir sejak sepuluh hari lalu.

Rusuhan dan pertempuran antara puak yang pro dan anti-Mubarak memuncak pada Jumaat apabila tempoh yang diberikan pembangkang kepada Mubarak supaya berundur tamat.

Sebelum ini, Ketua Misi itu Kolonel Abdul Mutalib Wahab di Kaherah berkata jumlah pelajar yang mampu dibawa keluar sehari menggunakan pesawat itu ialah kira-kira 1,800 orang. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan