12 Pesawat Digunakan Bagi Percepat Proses Pemindahan Pelajar

Diterbitkan: Sabtu, 5 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KAHERAH: Sebanyak 12 pesawat akan digunakan bagi mempercepatkan proses pemindahan pelajar Malaysia di Mesir ke Jeddah dalam operasi 24 jam , kata Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab.

Beliau berkata antara pesawat yang akan digunakan itu adalah Boeing 747 Malaysia Airlines (MAS) dan Air Bus AirAsia selain Angkatan Tentera Malaysia.

"AirAsia telah membuat keputusan untuk menambah lagi penerbangannya, jadi saya rasa perkara ini akan dapat dicapai," katanya kepada pemberita di sini Sabtu.

Menurutnya proses pemindahan itu dilakukan dalam tempoh 24 jam berikutan ada penerbangan sebelum ini yang tergendala akibat beberapa masalah.

"Kita nak kejar masa sebenarnya dan oleh itu, bagi mempercepatkan proses pemindahan pelajar ini, kita akan buat operasi selama 24 jam," katanya.

Beliau berkata seramai 4,000 pelajar akan dipindahkan ke Jeddah hari ini dengan menggunakan pesawat milik ATM, AirAsia dan MAS.

Mohamed Thajudeen berkata kapal Tentera Laut Diraja Malaysia Bunga Mas 5, yang telah tiba di Pelabuhan Kaherah, diletakkan dalam keadaan bersiap sedia dan akan digunakan bila perlu.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan