Tujuh Ditahan Dalam Demonstrasi Di Ibu Kota

Diterbitkan: Jumaat, 4 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tujuh lelaki ditahan kerana menimbulkan kekacauan ketika satu perhimpunan haram membantah campur tangan Amerika Syarikat dalam urusan kerajaan Mesir di pekarangan Kedutaan Amerika, di sini, Jumaat.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman berkata kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

"Mereka ditahan kerana bertindak agresif dengan membaling botol dan pelbagai lagi benda keras serta tidak mahu bersurai apabila diminta," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Tujuh lelaki tersebut adalah antara hampir 2,000 orang yang menyertai perhimpunan haram tersebut bagi menyerahkan memorandum bantahan ke Kedutaan Amerika Syarikat.

Perhimpunan yang bermula kira-kira pukul 2.30 petang itu bagaimanapun berjaya disuraikan pihak polis 20 minit kemudian.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan