Seorang Kanak-Kanak Perempuan Mati Lemas Di Kawasan Lagun

Diterbitkan: Jumaat, 4 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PASIR PUTEH: Seorang kanak-kanak perempuan berumur lapan tahun, Rabiatul Adawiah Razmi, mati lemas ketika bermain air di kawasan Langun, Semerak di sini, Jumaat.

Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Kaharuddin Yahya berkata Rabiatul Adawiah mengikut bapanya Razmi Tahir mencari kepah di situ ketika kejadian berlaku kira-kira 11 pagi.

"Pasukan skuba dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Baharu menjumpai mayat kanak-kanak itu tidak jauh dari tempat dia dilaporkan hilang pada pukul 2.20 petang selepas mendapat laporan pukul 11.15 pagi," katanya ketika ditemui.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis di sini untuk dibedah siasat.

Kaharuddin berkata sehingga kini, lebih 22 mangsa mati lemas ketika mencari kepah di kawasan berkenaan dan ini berlaku kerana mereka tidak menyedari air pasang secara mengejut.

Katanya walaupun papan amaran bahaya mengenainya dipasang di beberapa tempat tetapi orang ramai tidak mempedulikannya disebabkan harga kepah di pasaran tempatan melambung tinggi iaitu RM2 hingga RM4 sekilogram.

Sementara itu, Razmi, 39, ketika ditemui berkata ketika kejadian, anaknya itu berada beberapa meter dari tempat beliau mencari kepah.

Katanya sebelum kejadian, beliau melihat Rabiatul Adawiah mengharungi air menuju ke tempat yang dalam dan tiba-tiba hilang dibawa arus.

"Saya hanya sempat menjerit supaya jangan pergi ke tempat itu tetapi tidak didengarinya," katanya.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan