Pelbagai Usaha Digunakan Untuk Pindah Rakyat Malaysia Tunjuk Kerajaan Prihatin

Diterbitkan: Jumaat, 4 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KAHERAH: Pelbagai usaha yang dibuat bagi mengeluarkan rakyat Malaysia dari negara Mesir antaranya seperti menggunakan pesawat milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM), AirAsia dan Malaysia Airlines (MAS) menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata ianya selaras dengan slogan 1Malaysia "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan".

"Hari ini menjadi satu lagi bukti bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa meletakkan keprihatinannya dan mendahulukan rakyat di hadapan," katanya.

Katanya rombongan beliau bersama-sama Kelab Putera 1Malaysia dan agensi-agensi lain bertujuan untuk membawa pulang pelajar dan warga Malaysia dari negara yang sedang bergolak ini dalam keadaan selamat.

"Kepada ibu bapa pelajar yang berada di kampung halaman dan semua rakyat Malaysia saya mohon mereka mendoakan kami agar bawa pulang pelajar dengan selamat," katanya kepada pemberita di sini.

Jamil Khir turut menasihatkan para ibu bapa pelajar agar tidak mendengar laporan palsu tentang keadaan di Mesir sebaliknya terus berurusan dengan Wisma Putra dan agensi-agensi lain berkaitan bagi mengetahui perkembangan di Mesir.

"Saya minta agar telefon terus dengan Wisma Putera atau bilik operasi mereka...lain-lain maklumat saya lihat tidak dapat dipercayai kesahihannya," katanya lagi.

Timbalan Menteri Luar A. Kohilan Pillay berkata kerajaan menjangkakan akan dapat memindahkan kesemua warga Malaysia yang berada di Mesir pada Ahad ini.

Beliau berkata kerajaan dijangka akan mula menggunakan tiga pesawat C-130 TUDM dan kapal laut esok untuk memindahkan kesemua pelajar ke Jeddah, Arab Saudi.

"Selepas itu baru kita akan fikir macam mana kita nak bawa mereka kembali terus ke Malaysia atau ke Mesir semula," katanya Kohilan berkata beliau berharap agar ibu bapa pelajar bersabar dan tenang kerana Wisma Putra sentiasa menjaga kepentingan pelajar yang menuntut di Mesir.

Presiden Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata anggota kelab itu hadir di Mesir atas arahan Perdana Menteri bagi membantu menguruskan proses pemindahan pelajar yang berada di Mesir ke Jeddah.

Beliau berkata pihaknya akan menjaga segala keperluan pelajar Malaysia yang berada di Mesir sebelum mereka di bawa ke Jeddah.

"Kita telah memantau apa yang sedang berlaku di sini dan bantu hantar pelajar di sini ke Jeddah...pesawat penerbangan Malaysia (MAS) dah bawa pulang hampir 345 pelajar dan sekejap sahaja lagi pesawat AirAsia pula akan membawa 300 pelajar ke sana.

"Dan Insyallah tiga pesawat C130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan tiba bila-bila masa bagi memindahkan pelajar," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan