Jangan Politikkan Usaha Kerajaan Selamatkan Rakyat Malaysia Di Mesir - Muhyiddin

Diterbitkan: Jumaat, 4 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MUAR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa pihak tertentu supaya tidak mempolitikkan pelan tindakan menyelamat dan membawa pulang 11,000 rakyat Malaysia yang terperangkap di Mesir.

Beliau menegaskan usaha menyelamat itu bukan perkara yang mudah, sebaliknya memerlukan perancangan rapi.

"Kita mahu mengambil langkah secepat seperti yang kita mahu, tetapi kerana ada peraturan-peraturan tertentu bukan sahaja di Mesir bahkan kita perlu mendapatkan kebenaran kerajaan Arab Saudi untuk menempatkan anak-anak kita di Jeddah.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudah mendapat kebenaran Arab Saudi, tetapi bukan mudah untuk melaksanakan," katanya pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan kawasan Dewan Undangan Negeri Jorak di Sekolah Kebangsaan Sungai Raya, Bukit Pasir di sini pada Jumaat.

Muhyiddin berkata usaha itu memerlukan kemudahan logistik yang cukup.

"Setakat hari ini, semua rakyat Malaysia selamat. Bekalan makanan pun ada, cuma proses pemindahan memang memerlukan tempoh masa sedikit," katanya.

Beliau berkata arahan perintah berkurung di Kaherah merumitkan usaha untuk membawa rakyat Malaysia keluar dari Mesir.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak menghargai usaha kerajaan untuk menyelamatkan rakyat Malaysia dan tidak mempolitikkannya.

"Saya tahu, ada pemimpin-pemimpin pembangkang mempolitikkan langkah kerajaan dengan mendakwa kita lambat dan sebagainya.

"Kerajaan Mesir yang dalam keadaan kucar kacir tidak mudah untuk respon kepada permintaan Malaysia sahaja kerana terdapat rakyat dari lebih 40 buah negara yang berusaha menyelamatkan diri," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan