Misi Kelab Putera 1Malaysia Berkata, Universiti Jamin Kebajikan Pelajar Malaysia

Diterbitkan: Rabu, 2 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BRISBANE: Misi membantu rakyat Malaysia di sini membuahkan hasil apabila universiti tempatan (Australia) memberi jaminan menjaga kebajikan penuntut yang mengalami kerosakan harta benda dan peralatan pembelajaran akibat banjir di timur laut negara itu.

Jaminan itu tercapai hasil pertemuan dan sesi dialog antara Kelab Putera 1Malaysia dengan dua universiti yang menempatkan lebih 2,000 penuntut Malaysia iaitu di University of Queensland (UQ) dan Queensland University of Technology (QUT) di sini, lewat petang Isnin.

Pengerusi kelab itu, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, misi bantuan yang menumpukan kepada usaha membantu mangsa banjir itu dilihat berjaya apabila keseluruhan penuntut Malaysia yang terjejas akibat bencana itu dapat dibantu bukan sahaja dari segi material malah sokongan moral.

"Saya juga mahu menyeru penuntut kita agar terus mengekalkan kesepakatan yang sedia terjalin sama ada di negara ini mahupun di dalam negara (Malaysia) tanpa mengira latar belakang," katanya pada hari terakhir Misi Bantuan Kemanusiaan selama empat hari di negara ini.

Abdul Azeez berkata, beliau berpuas hati dengan kejayaan membantu warga Malaysia yang berada di luar negara di samping menjayakan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berikrar membantu rakyat Malaysia walau di mana mereka berada dengan mendokong gagasan 1Malaysia.

Beliau berkata, pihaknya amat menghargai kerjasama baik antara kedua-dua universiti itu yang mengambil berat soal kebajikan penuntut Malaysia.

"Kita berterima kasih dan menyanjung tinggi usaha yang dilakukan oleh kedua-dua unversiti itu yang mengambil berat soal kebajikan penuntut kita yang belajar di sini," katanya.

Timbalan Naib Cancelor Antarabangsa UQ Dr Anna Ciccarelli berkata, pihaknya telah mengambil tindakan segera dengan mengenal pasti penuntut yang terjejas teruk termasuk menyediakan penempatan sementara bagi penuntut kehilangan tempat tinggal.

"Kita telah mengambil langkah segera dalam memastikan semua penuntut Malaysia mendapat kemudahan penginapan sementara yang selesa selepas rumah mereka rosak akibat banjir," katanya.

Dr Anna berkata, pihaknya turut memastikan kuliah dan penyelidikan lebih 1,000 penuntut yang melanjutkan pengajian di universiti berkenaan tidak terbantut.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Antarabangsa dan Pembangunan QUT, Scott Sheppard turut bersepakat dengan Dr Anna dalam menjaga kebajikan penuntut Malaysia.

Scott berkata, pihaknya sentiasa memberi perhatian terhadap keselesaan semua penuntut termasuk penuntut Malaysia yang terlibat dengan banjir baru-baru ini.

Beliau berkata, aspek kebajikan bagi setiap penuntut adalah menjadi dasar universiti itu selain mengutamakan kebajikan penuntut untuk memastikan mereka selesa dalam pengajian mereka.

"Kita amat peka dan prihatin tentang soal kebajikan penuntut yang sedang mengikuti pengajian di universiti ini termasuk bekerjasama baik dengan penuntut Malaysia yang terlibat dalam kejadian banjir," katanya.

Seramai 18 anggota Misi bantuan di sini tiba di bandar ini sejak Jumaat lepas dengan membawa lebih lima tan barangan makanan, ubat-ubatan dan selimut. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan