Banjir Semakin Reda Di Negeri Terlibat

Diterbitkan: Selasa, 1 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Harapan penduduk Tionghoa yang menjadi mangsa banjir untuk menyambut Tahun Baru Cina di rumah mereka mungkin kesampaian setelah keadaan banjir semakin reda di kebanyakan negeri yang terlibat terutamanya di Johor.

Jurucakap Jabatan Meteorologi Malaysia Ramlan Ab Rahman berkata ini berdasarkan amaran hujan lebat terutama di Johor sudah diturunkan kepada kuning daripada amaran peringkat merah.

"Hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana berterusan sehingga hari ini sahaja manakala esok dijangka masih hujan tetapi di satu-satu tempat sahaja termasuk Segamat dan Kluang.

"Keadaan hujan yang semakin kurang ini membolehkan keadaan banjir beransur-ansur pulih, namun kita kena lihat juga faktor lain seperti aliran air dari bukit dan sistem pengairan di kawasan rendah," katanya kepada Bernama di sini.

Sehingga kini, seramai 60,389 mangsa di seluruh negara membabitkan 13,826 keluarga ditempatkan di 356 pusat pemindahan banjir.

Di JOHOR, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang melawat mangsa banjir di beberapa pusat pemindahan di negeri itu berkata berdasarkan daripada taklimat yang diterimanya tentang keadaan terkini banjir di Johor, beliau diberitahu keadaan terburuk bagi bencana banjir di negeri ini telah berlalu.

"Berdasarkan kepada taklimat, nampaknya (keadaan terburuk banjir di Johor telah berlalu), tetapi kita mesti berjaga-jaga. Keadaan cuaca terlibat, fenomena (cuaca) yang luar biasa itu telah beralih ke kawasan lain, ke arah selatan di kawasan perairan.

"Bagaimanapun, kita perlu sentiasa berhati-hati kerana perubahan cuaca boleh menyebabkan banjir," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan banjir di Dewan Kampung Ayer Panas, di sini.

Cuaca panas terik dan cerah di Johor sejak pagi memberi peluang kepada mangsa-mangsa banjir di negeri ini pulang ke rumah masing-masing, walaupun lebih daripada 40,000 mangsa masih ditempatkan di pusat-pusat pemindahan seluruh negeri.

Mangsa banjir di Johor menunjukkan penurunan dengan seramai 40,443 mangsa daripada 9,809 keluarga berada di 244 pusat pemindahan sehingga 2 petang.

Pada pagi, lebih 45,000 mangsa daripada 11,104 keluarga berada di 267 pusat pemindahan.

Di NEGERI SEMBILAN, seramai 1,549 mangsa banjir daripada 368 keluarga masih berada di 16 pusat pemindahan setelah beberapa pusat pemindahan ditutup petang ini ekoran keadaan air banjir mulai surut.

Jurucakap Bilik Gerakan Daerah Tampin berkata setakat pukul 5 petang ini terdapat 1,141 mangsa dari 287 keluarga masih berada di lapan pusat pemindahan di daerah Tampin.

Jurucakap Bilik Gerakan Daerah Jempol pula berkata di daerah Jempol terdapat 377 mangsa dari 76 keluarga masih berada di tujuh pusat pemindahan manakala di daerah Kuala Pilah, terdapat 31 mangsa dari lima keluarga masih berada di pusat pemindahan Dewan Orang Ramai Dangi.

Sementara itu, Jalan Bahau-Rompin masih lagi ditutup kerana laluan mendap.

Di PAHANG, keadaan banjir di Raub telah pulih selepas kesemua 139 mangsa banjir melibatkan 34 keluarga di tujuh kampung dibenarkan pulang sejak 4 petang.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata jumlah keseluruhan mangsa banjir yang ditempatkan di dua lagi daerah iaitu Rompin dan Temerloh sehingga 6 petang adalah seramai 1,777 mangsa melibatkan 226 keluarga.

"Daerah Rompin masih mencatatkan pemindahan paling tinggi seramai 1,687 mangsa dari tiga kampung iaitu Kampung Rekoh (162 mangsa), Bukit Serok (1,499 mangsa) dan Kampung Mekang, Ibam (26 mangsa).

"Di daerah Temerloh, seramai 90 orang dari dua kampung iaitu Kampung Sempadan (tujuh mangsa) dan Kampung Insaf (83 mangsa)," katanya.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan mulai berkurangan kepada 3,396 orang tengah hari ini berbanding 4,543 orang pada 8 pagi.

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri Melaka berkata keadaan banjir di daerah Jasin mulai surut dengan jumlah mangsa yang masih ditempatkan di enam pusat pemindahan ialah seramai 606 orang berbanding 1,254 orang di 14 pusat pemindahan pada 8 pagi.

Banjir di daerah Alor Gajah juga semakin surut dengan bilangan mangsa yang masih berada di lapan pusat pemindahan ialah seramai 1,656 orang berbanding 2,163 orang di 10 pusat pemindahan pada 8 pagi, katanya kepada Bernama semasa dihubungi di sini.

Bagaimanapun, katanya jumlah mangsa yang ditempatkan di tujuh pusat pemindahan di daerah Melaka Tengah meningkat kepada 1,134 orang berbanding 1,128 pada 8 pagi.

Setakat ini, cuaca cerah dilaporkan di seluruh negeri ini.

Banjir di Melaka meragut mangsa pertama Isnin di Jasin iaitu seorang pengawal keselamatan, Yusry Mohd Yusof, 40, yang ditemui lemas di Loji Air, Kampung Chinchin pada 1.30 tengah hari. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan