Kronologi Proses Mengundi DUN Tenang

Diterbitkan: Isnin, 31 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BERIKUT adalah kronologi proses hari mengundi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang yang berlangsung pada Ahad.

2 petang: Pekan Ayer Panas, Kampung Tenang, Felda Tenang telah terputus hubungan kerana air sungai telah melimpah hingga ke paras dada.

Hujan terus turun dengan lebatnya menyebabkan ribuan penduduk dan orang ramai terperangkap dalam banjir.

Lebih buruk, Pekan Ayer Panas telah terputus bekalan elektrik. Ratusan penduduk di sekitar Pekan Ayer Panas telah dipindahkan ke balai raya berdekatan.

Tinjauan mStar Online mendapati kejadian banjir semakin buruk dan hanya kenderaan berat dibenarkan menggunakan laluan utama.

Rumah-rumah di kawasan rendah habis ditenggelami air hingga ke paras bumbung.

Haiwan ternakan ada yang mati terapung akibat terperangkap dalam banjir terburuk di Labis.

Lebih memburukkan keadaan puluhan petugas media terperangkap dalam keadaan tersebut terpaksa di bawa keluar dengan menaiki trak Jabatan Pertahanan Awam.

11:20 pagi: Beberapa jalan di kawasan rendah di sekitar DUN Tenang dinaiki air hingga menenggelamkan jalan.

Namun ia masih dibuka untuk laluan kenderaan. Pasukan Bomba dan Penyelamat telah bersiap sedia dengan bot untuk mengambil pengundi untuk membawa mereka ke pusat pengundian berhampiran.

Sehingga kini tidak ada pusat pengundian yang ditutup.

11.10 pagi: Calon PAS, Normala yang dikenali sebagai Cikgu Mala masih optimis kemenangan akan berpihak kepadanya walaupun hujan turut dengan lebat sedikit menggangu peratusan keluar mengundi.

"Saya yakin pengundi bijak membuat pilihan. Setakat ini enam tempat saya telah melawat enam tempat pengundian.

"Walaupun hujan turun dengan lebat saya tengok ‎​Pengundi masih bersemangat untuk keluar mengundi.

Insya-Allah kita nantikan keputusan malam ini dengan penuh debaran," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pengundian di Sekolah Menengah Kamarol Ariffin.

10:30 pagi: Setakat pukul 100 pagi kira-kira 250 pengundi telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan membuang undi di Dewan Serbaguna Kg Paya Merah.

9:40 pagi: Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek melawat perkarangan pusat penamaan calon di Dewan Serbaguna Kg Paya Merah.

9:35 pagi: Ahli Panel SPR, Datuk Christopher Wan Soo Kee melawat pusat pengundian di Dewan Serbaguna Kg Paya Merah.

9:30 pagi: Penyokong BN, cuba menimbulkan provokasi dengan pergi ke tempat penyokong PAS. Timbulkan sedikit ketegangan namun ia berjaya disuraikan oleh pihak polis yang berkawal.

9:10 pagi: Calon PAS, Normala Sudirman melawat pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Kampung Tenang.

9:05 pagi: Calon BN, Mohd Azhar ketika ditemui selepas membuang undi berkata beliau bersyukur kerana telah melaksanakan tanggunjawab sebagai pengundi.

"Saya berharap orang ramai akan keluar mengundi awal walaupun hujan lebat.

"Saya gembira dan insya-Allah keyakinan di pihak kita," kataya kepada pemberita selepas membuang undi di Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah di sini.

Turut mengundi di sini, nenek Mohd Azhar, Essah Sulong, 95.

Biarpun duduk di atas kerusi roda, Essah dilihat tetap bersemangat melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.

8:55 pagi: Calon BN, Mohd Azhar tiba di pusat pengundian, Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah.

Beliau yang memakai baju Melayu biru menyemak saluran mengundi untuk melaksanakan tanggungjawab membuang undi di sini.

Dia yang tiba menaiki kereta pacuan empat roda berwarna kelabu disambut dengan sorakan daripada penyokong BN yang melaungkan slogan Hidup BN, Pilih Azhar.

8:45 pagi: penyokong dan peraih undi PAS yang berada berhampiran dengan Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah mula bersorak dan meminta pengundi menolak calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azhar Ibrahim.

Keadaan itu berlangsung kira-kira lima minit apabila pihak polis meminta penyokong berkenaan tidak menimbulkan unsur provokasi.

8.30 pagi: Walaupun hujan turun dengan lebat di Labis masih ramai pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka.

Di Kampungg Paya Merah kira-kira 50 orang pengundi yang terdiri daripada warga tua pelbagai bangsa, dan suri rumah mula mengundi di pusat mengundi, di Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah.

Petugas-petugas Suruhanjay Pilihan Raya membantu pengundi yang kurang upaya dengan membawa mereka menggunakan kerusi roda ke pusat pengundian.

8 pagi: Proses mengundi bagi 12 pusat mengundi dibuka serentak.

7:30 pagi: Orang ramai mula beratur dan menyemak saluran mengundi masing-masing di Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah.

7 pagi: Peraih undi daripada kedua-dua parti bertanding sudah mula membanjiri perkarangan pusat pengundian.

Bagaimanapun mereka hanya dibenarkan berada 100 meter daripada pusat mengundi.

6:30 pagi: Jalan Segamat-Labis mulai sibuk dengan kenderaan menuju ke pekan Labis dan pusat pengundian berhampiran.

Bagaiamanapun keadaan trafik masih lagi terkawal kerana pihak polis telah mula mengawal lalu lintas.

6pagi: Hujan turun dengan lebat sejak malam tadi, menyebabkan beberapa jalan Labis-Segamat ditenggelami air.

Namun ia masih dibuka kepada laluan kenderaan ringan dan berat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan