UiTM Cadang Buka Satu Lagi Kampus Di P.Pinang

Diterbitkan: Ahad, 30 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BALIK PULAU: Universiti Teknologi MARA (UiTM) merancang membuka satu lagi kampus di Pulau Pinang dalam tempoh tiga tahun akan datang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

"Perkara ini masih dalam perancangan dan kita sedang mencari satu tempat yang sesuai untuk membina kampus baru itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan UiTM Pulau Pinang Kampus Balik Pulau di sini, Ahad.

UiTM Pulau Pinang kini mempunyai kampus di Permatang Pauh dan satu lagi kampus akan dibuka di Bertam, Seberang Perai.

Beliau berkata cadangan pembinaan kampus baru itu selaras dengan usaha kerajaan untuk menambah bilangan tenaga kerja mahir di negara ini.

"Kita perlu menambah tenaga kerja mahir kerana antara prasyarat yang diminta oleh pelabur yang ingin melabur di negara ini ialah kita perlu ada tenaga kerja mahir dalam bidang tertentu," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM Prof Datuk Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata UiTM Pulau Pinang Kampus Balik Pulau, yang beroperasi di kampus sementara, menawarkan kursus peringkat pradiploma.

"UiTM Balik Pulau mula beroperasi pada Julai lepas dengan pengambilan pertama pelajar seramai kira-kira 300 orang dan pengambilan kedua melibatkan kira-kira 300 pelajar," katanya.

Katanya penubuhan kampus Balik Pulau itu memberi peluang kepada pelajar miskin dari luar bandar yang mempunyai potensi tinggi dalam bidang akademik melanjutkan pengajian.

Selain itu, katanya UiTM merancang memperkenalkan 200 lagi program baru dalam pelbagai bidang pengkhususan pada masa akan datang.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan