Projek SAFE Lindungi Hutan Hujan

Diterbitkan: Sabtu, 29 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TAWAU: Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan projek Kestabilan Pengubahan Ekosistem Hutan (SAFE) yang beliau sifatkan sebagai kajian terbesar seumpamanya mengenai ekologi.

Perdana Menteri berkata projek SAFE bertujuan membantu melindungi ekosistem hutan hujan dan memulihara biodiversiti dalam konteks pengeluaran pertanian.

Beliau menyifatkan pelancaran projek itu di Lembangan Maliau di sini sebagai amat bersejarah kerana projek itu "akan menyediakan asas bagi kajian 10 tahun mengenai impak pengubahsuaian hutan."

Ini membabitkan akibat pembalakan, penanaman semula kawasan hutan dan pemecahan kawasan hutan ke atas fungsi dan peranan hutan hujan tropika, katanya.

Projek itu adalah usahasama antara Yayasan Sime Darby dan Royal Society of SEARRP, Program Penyelidikan Hutan Hujan Asia Tenggara. Yayasan itu akan menyuntik RM30 juta ke dalam projek itu, dengan penyelidikan berpusat di Pusat Kajian Lembangan Maliau.

Najib berkata Lembangan Maliau, dikenali sebagai "Sabah’s Lost World" yang kaya dengan pelbagai spesies flora dan fauna, merupakan kawasan yang sempurna bagi projek itu.

Beliau berkata penyelidikan itu amat penting bagi mendapatkan pengetahuan mengenai sistem yang perlu diwujudkan untuk melindungi hutan hujan tropika di Malaysia.

"Penyelidikan ini akan menyumbang kepada pemahaman mengenai bagaimana biodiversiti boleh dilindungi dan dikekalkan dalam aktiviti perladangan.

"Ia juga akan menilai bagaimana untuk mengseimbangkan manfaat ekonomi daripada industri kelapa sawit dengan keperluan pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan lestari," katanya.

Pasukan penyelidikan diketuai Dr Rob Ewers dari Imperial College of the United Kingdom dan Dr Glen Reynolds dari Royal Society of SEARRP, dan akan termasuk saintis dari Universiti Oxford, Universiti Cambridge, Universiti Stanford, Universiti Zurich dan Universiti Malaysia Sabah.

Pengerusi Sime Darby Tun Musa Hitam berkata projek itu akan banyak menyumbang kepada pengurusan kelapa sawit dan perladangan lestari dan akan membantu mewujudkan garis panduan "yang kukuh dan mantap secara saintifik" bagi perladangan sedia ada dan masa depan.

Pembiayaan itu antara lain akan meliputi lapan biasiswa PhD, enam jawatan kanan doktor lanjutan (separuh daripadanya ditawarkan kepada Malaysia) dan gaji serta latihan pasukan yang terdiri daripada penolong penyelidik atau juruteknik makmal tempatan.

SEARRP, berpangkalan di Pusat Kajian Lapangan Lembah Danum di Lahad Datu, mempunyai sejarah 25 tahun dalam menguruskan projek penyelidikan berskala besar dan mengendalikan projek usahasama saintifik di Malaysia. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan