Penerbitan Komponen Penting Industri Kreatif

Diterbitkan: Sabtu, 29 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Bidang penerbitan kini menjadi satu daripada komponen yang berperanan memajukan industri kreatif di negara ini, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata bidang itu perlu diiktiraf sebaris dengan bidang lain yang menjadi tunjang kepada industri berkenaan seperti filem, televisyen dan muzik.

"Industri kreatif perlu iktiraf penerbitan sebagai salah satu daripada pancang dan jurainya. Justeru ia (penerbitan)sudahpun dimasukkan (ke dalam industri kreatif) baru-baru ini setelah saya berbincang semula dengan pihak Jabatan Perdana Menteri.

"Bidang penerbitan bernilai lebih dari RM5.6 bilion pada satu ketika tapi sekarang meningkat kepada RM6.2 bilion setahun yakni menerusi jual beli buku, eksport dan import buku, penulisan, grafik dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Karangkraf 2011 di sini, Sabtu.

Selain itu, Rais berkata kementerian juga bercadang mewujudkan sistem pengiktirafan kepada penerbit yang paling berjaya dan penulis yang paling produktif bagi menghargai sumbangan mereka kepada bidang penerbitan di negara ini.

Beliau berkata bentuk pengitirafan yang bakal diterima akan diperincikan oleh kementerian itu.

Ditanya sama ada mereka yang terlibat dalam bidang penerbitan boleh memohon pinjaman, Rais berkata industri kreatif sememangya menyediakan kemudahan pinjaman dan mempunyai dana berjumlah kira-kira RM200 juta pada masa ini.

"Sesiapa yang ingin meminjam perlu menerusi beberapa syarat yang tidak susah dan akan kita sokong mengikut tema, teknologi, penyampaian dan hasil produknya.

"Filem juga tergolong dalam senarai itu (yang boleh membuat pinjaman) selain drama dan pementasan yang perlu diperhalusi kandungannya," katanya.

Karnival selama tiga hari bermula semalam dan bertemakan 'Syoknya Membaca' itu bertujuan menggalakkan orang ramai mendapatkan bahan bacaan yang berkualiti dengan harga lebih murah.

Orang ramai turut berpeluang menyaksikan Pameran Uzbekistan yang mempamerkan Al-Quran terpanjang dan demonstrasi pertunjukan ular oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan pameran limosin mewah terpanjang. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan