MP Padang Serai N.Gobalakrishnan Letak Semua Jawatan Dalam PKR

Diterbitkan: Sabtu, 29 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LABIS: Bekas anggota Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga anggota Parlimen Padang Serai N. Gobalakrishnan mengumumkan peletakan semua jawatan dalam parti itu berkuatkuasa serta merta.

Beliau membuat pengumuman itu menerusi laman sosial Twitter beliau yang berbunyi: "Selamat Pagi kepada semua rakyat Malaysia. Saya dengan ini letak semua jawatan dalam parti PKR dan teruskan kerja saya melalui NGO Baru".

Semasa dihubungi dari sini oleh Bernama dan bertanyakan sama ada pengumuman dalam Twitter beliau itu adalah benar, beliau berkata: "Ya, ia adalah benar. Saya sedang mengadakan sidang media bagi mengumumkan keputusan ini".

Keputusan beliau untuk meletakkan semua jawatan dalam parti dibuat dalam tempoh kurang sebulan selepas beliau diberikan surat tunjuk sebab kerana mengkritik parti dan pucuk pimpinan melalui surat 45 halaman dari parti bertarikh 31 Disember, 2010 melalui faksimili.

Gobalakrishnan diminta memberikan penjelasan mengenai tindakannya itu kepada PKR dalam tempoh tujuh hari dari tarikh surat itu.

Bagaimanapun, Gobalakrishnan berkata tempoh tujuh hari itu tidak adil dan tidak munasabah kerana beliau hanya mempunyai masa tiga hari untuk menjawab surat itu dan sebaliknya meminta 45 hari untuk menjawab surat itu kerana beliau perlu meneliti pelbagai dakwaan yang dilemparkan terhadapnya.

Gobalakrishnan diberikan surat tunjuk sebab itu kerana mengkritik Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa telah mengarahkan penutupan kuil Sivan di Petaling Jaya, Selangor. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan