Melayu Singapura Berdisiplin Hanya Di Republik Itu - Dr. M

Diterbitkan: Sabtu, 29 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad secara sinis mengakui bahawa Melayu Singapura lebih berdisiplin semasa di negara mereka tetapi berubah sebaliknya sebaik sahaja menyeberang ke Malaysia.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, rakyat republik itu tanpa mengira bangsa sememangnya berdisiplin dan kebenaran itu diakuinya dengan memberi contoh bahawa mereka tidak akan membuang sampah di jalan menyebabkan jalan-jalan di Singapura amat bersih.

"Tetapi apabila mereka menyeberang ke tanah besar Malaysia mereka akan buang sampah dari kereta mereka dalam perjalanan," katanya dalam entri di blognya, Chedet di sini.

Beliau mengulas tulisan Tan Malaka dalam sebuah akhbar arus perdana yang mendakwa bahawa Melayu Singapura lebih berdisiplin berbanding Melayu Malaysia .

Dr. Mahathir berkata, sesungguhnya keadaan di Singapura amat mengagumkan sesetengah daripada kita di Malaysia.

Katanya, apa tidak, masalah Kampung Baru dapat diselesaikan dengan mudah.

"Pindahkan sahaja penduduk Kampung Baru dan bangunkan rumah pangsa yang akan diduduki oleh sesiapa sahaja. Seperti hilangnya Geylang dan Pasir Panjang akan hilanglah Kampung Baru," tambah beliau.

Mengulas lanjut, beliau berkata, di Malaysia membuang sampah selori di tepi jalan pun tidak akan diambil apa-apa tindakan yang membuktikan rakyat negara ini tidak berdisiplin dalam soal kebersihan dan lain-lain.

Kerana itu, ujarnya, ada pelawak yang memanggil Singapura "a fine city" kerana bagi setiap kesalahan kecil rakyatnya akan dikenakan denda iaitu "fine".

"Rakyat Malaysia pun bila ke Singapura akan berjaga-jaga supaya tidak dikenakan fine," jelasnya.

Katanya lagi, faktor kurang berdisiplin itu mungkin kerana Malaysia lebih demokratik.

Parti-parti politik takut rakyat tidak akan sokong mereka jika bertindak terlalu keras supaya rakyat berdisiplin, tambah beliau.

"Parti pemerintah Singapura tidak takut kepada rakyat. Jika rakyat pilih bukan calon Parti Tindakan Rakyat (PAP), dia akan diheret ke mahkamah, didenda dan dijadikan bankrap.

"Selepas itu dia tidak dapat ke Parlimen untuk membantah perlakuan pemerintah. Jika dia dibenar mengambil tempat di Parlimen, dia tidak akan berani berkata apa-apa," tegasnya.

Oleh itu, ujar beliau lagi, mungkin Tan Malaka lebih senang jika amalan di Singapura didapati di Malaysia.

"Jika "demokrasi" ala Singapura diamal disini saya yakin bukan sahaja Melayu Malaysia akan disiplin tetapi semua kaum akan disiplin.

"Menteri-Menteri pun lega kerana jika dicalonkan semula oleh parti, kemenangan terjamin walaupun menidakkan hak bersuara rakyat," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan