Malaysia Catat Rekod Baik Dalam Pembangunan Lestari - PM

Diterbitkan: Sabtu, 29 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TAWAU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia mempunyai rekod prestasi yang baik dalam bidang pembangunan lestari, berbanding negara lain, walaupun ada pihak tertentu di peringkat global mempunyai perspektif negatif terhadap amalan dalam aktiviti perusahaan minyak sawit negara ini.

Kata beliau, sebagai sebuah negara, sudah sewajarnya wujud keperluan bagi Malaysia untuk menggunakan tanah bagi tujuan pembangunan, tetapi kerajaan menggubal dasar tertentu untuk memastikan wujud keseimbangan daripada segi keperluan menjaga kepentingan rakyat dan memulihara kawasan hutan.

"Kita perlu sediakan ruang untuk membolehkan rakyat Malaysia menikmati kehidupan lebih baik, tapi pada masa yang sama, kawasan yang dimajukan untuk penanaman kelapa sawit perlu dibangunkan secara lestari. Malah, ada kawasan di mana pembangunan dan pembalakan langsung tidak dibenarkan, seperti Lembangan Maliau dan Lembah Danum dan kawasan tadahan air.

"Jika kita bandingkan dengan prestasi negara lain, rekod prestasi kita lebih baik daripada kebanyakan mereka...setelah mereka musnahkan sumber hutan mereka, kini mereka meninjau ke sana sini dan cuba menuding jari kepada kita, sedangkan merekalah sebenarnya yang menjadi punca masalah," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Kajian Lembangan Maliau (MBSC) dan Projek SAFE (Kestabilan Ekosistem Hutan Yang Ubah) di Kawasan Pemuliharaan Lembangan Maliau di sini, Sabtu.

Najib berkata demikian apabila diminta mengulas anggapan sesetengah pihak, terutama di Eropah kononnya Malaysia tidak bertindak secukupnya untuk manambah baik amalan dalam industri minyak sawitnya untuk meningkatkan pembangunan secara lestari.

MBSC terletak di Kawasan Pemuliharaan Lembangan Maliau seluas kira-kira 58,840 hektar dan merupakan Hutan Simpan Kelas I (Perlindungan) di bawah pengurusan Yayasan Sabah.

Terletak kira-kira tiga jam setengah perjalanan dari Keningau atau bandar Tawau, Lembangan Maliau juga dikenali sebagai "Dunia Tersembunyi Sabah", yang mendapat nama itu kerana bentuknya umpama sebuah mangkuk gergasi yang tergantung pada ketinggian antara 1,500 hingga 1,900m dari paras laut - menjadikannya tidak mungkin boleh didiami manusia dan oleh itu tidak diterokai.

MBSC, yang mempunyai keluasan 18 hektar, bertindak sebagai ibu pejabat bagi kawasan pemuliharaan dengan fungsi utamanya menyediakan venue serta kemudahan untuk penyelidik dan mereka yang menyertai program pembelajaran tentang alam semula jadi serta peserta kursus.

Pusat kajian itu lahir daripada kerjasama antara kerajaan Malaysia dan Denmark bagi menjamin Lembangan Maliau sentiasa dipulihara, dengan perbelanjaan mewujudkan prasarana di situ sebahagian besarnya dibiayai Yayasan Sabah, manakala Danish Cooperation for Environment and Development (DANCED) menyediakan bantuan teknikal serta dana untuk menghasilkan reka bentuk seni bina pusat itu, sebuah makmal dan khidmat perundingan untuk mendapatkan bekalan tenaga yang mampu memulihara kelestarian alam sekitar.

IKEA pula menyumbangkan dana untuk membina bilik pembelajaran, asrama, paparan interpretasi pendidikan alam sekitar, pembinaan denai, jambatan kanopi, menara tinjau, jambatan gantung dan kem satelit.

Kemudahan lain yang terdapat di pusat itu ialah blok bangunan, bilik persidangan, galeri alam semula jadi, dewan makan dan kemudahan penginapan seperti bilik untuk VIP, rumah rehat serta anjung penyelidik.

Dalam ucapan perasmian beliau, Najib menyeru sektor swasta dari dalam dan luar negara supaya memainkan peranan penting dalam memulihara dan memperluaskan usaha pemuliharaan negara ini.

Usaha sedemikian terbukti amat penting bagi MBSC hingga menjadikannya sebuah kemudahan premier bagi penyelidikan hutan hujan tropika dan penyelidikan saintifik di rantau ini.

"Pusat ini juga akan mewujudkan sebuah pusat maklumat dan pangkalan data sains bagi industri bioteknologi kita yang sedang berkembang. Dengan meningkatkan kemampuan para saintis kita, mereka akan dapat berdiri sama tinggi dalam masyarakat saintifik global," kata Najib.

Beliau berkata Malaysia tergolong sebagai antara 12 negara biodiversiti mega di dunia dan melindungi kawasan asli merupakan isu global yang sungguh kritikal.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah yang juga pengerusi pemegang amanah Yayasan Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata kerajaan komited untuk mengurus kawasan ikonik ini sebagai suatu pemberian kepada dunia dan generasi akan datang.

"Walaupun ia juga dikenali sebagai "Dunia Tersembunyi", kita mesti pastikan kegiatan kita tidak mengakibatkan hilang untuk selama-lamanya," kata beliau.

Terdahulu, Perdana Menteri mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan 30 pelajar sekolah menengah dari Kelab Alam Semula Jadi Sabah di Maliau Skybridge, sebuah jambatan kanopi yang terletak berhampiran Kem Belian, kira-kira 800 meter dari pusat kajian itu.

Najib juga menyaksikan upacara pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Sabah dan enam institusi iaitu Kerajaan Negeri Sabah, Universiti Teknologi Mara (UiTM), IKEA, Kyoto University, Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia dan Program Penyelidikan Hutan Hujan Asia Tenggara (SEARRP).

Pemeteraian MoU dengan pelbagai pihak itu bertujuan memudahkan program pemuliharaan, penyelidikan dan latihan di kawasan yang dilindungi di Sabah, yang terletak di bawah pengurusan Yayasan Sabah.

Pada majlis yang sama, pengerusi Yayasan Sime Darby Tun Musa Hitam menyerahkan sekeping cek kepada SAFE melalui pengarah The Royal Society South East Asia Rainforest Research Programme (SEARRP) Dr Glen Reynolds.

Yayasan Sime Darby menyumbangkan RM30 juta untuk tempoh 10 tahun untuk membiayai Projek SAFE -- program uji kaji terbesar setakat ini berhubung hutan berpecah, khususnya untuk mengkaji sama ada ekosistem hutan yang berubah akibat kegiatan pembalakan dan penanaman kelapa sawit, masih cukup stabil untuk menyokong biodiversiti. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan