GAPENA Tunjuk Sikap Rasional Dalam Isu Interlok, Kata TPM

Diterbitkan: Jumaat, 28 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LABIS: Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) menunjukkan sikap yang rasional dengan menerima keputusan kerajaan meneruskan penggunaan novel Interlok untuk komponen sastera dalam Bahasa Melayu tingkatan Lima.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, sikap rasional Gapena itu membolehkan salah faham berhubung kandungan buku itu dapat diselesaikan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih di atas sikap yang amat rasional dan membolehkan penyelesaian sedikit salah faham dan salah sangka di dalam kandungan Interlok," katanya kepada pemberita pada sidang media di Sekolah Menengah Kamarul Ariffin di sini, Jumaat.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran akan mengumumkan nama anggota panel bebas yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk sasterawan, masyarakat India dan wakil Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Katanya, apa yang penting dan baik novel Interlok karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu boleh digunakan dan pindaan terhadap perkataan sensitif dalam novel itu dilakukan tanpa menjejaskan jalan cerita novel itu.

Mengikut jadual menurutnya, novel Interlok itu akan mula digunakan untuk tujuan pengajaran bulan depan dan tempoh yang ada kini akan digunakan untuk duduk berbincang dan berfikir tentang pindaan terhadap perkataan sensitif di dalam novel itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan