BN Dijangka Kekal Kerusi Tenang, Tapi Undi Cina Sukar Dijangka

Diterbitkan: Jumaat, 28 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LABIS: Dengan hari mengundi yang semakin hampir, pekerja parti, penganalisis politik dan penduduk tempatan Labis bersependapat PAS akan tewas pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

PAS tidak dapat menembusi kawasan yang dikuasai orang Melayu seperti di tiga kawasan skim Felda -- Chemplak, Tenang dan Chemplak Barat, yang membentuk undi terbesar orang Melayu.

Mereka menghadapi saingan sengit di kawasan kaum India juga tetapi mengharapkan kepada undi kaum Cina bagi menyokong mereka seperti pada pilihan raya lepas.

"Semua orang tahu kami akan tewas dalam pilihan raya kecil ini. Persoalannya sekarang berapa majoriti yang akan diperolehi BN. Nampak gaya ia bergantung banyak mana kemerosotan daripada undi kaum Cina. Jika defisitnya besar, saya tidak fikir, mereka boleh mencapai sasaran lebih daripada (majoriti) 5,000 undi," kata anggota jawatankuasa pusat DAP Jeff Ooi.

Dengan mengetahui bahawa undi kaum Cina sukar dijangka, BN telah menggandakan usaha dan menilai semula sasaran awal untuk mendapat lebih daripada majoriti 5,000 kepada sesuatu yang lebih realistik.

"Kami tidak fikir bahawa lebih daripada majoriti 5,000 undi dapat dicapai. Nampaknya kira-kira majoriti 3,000 undi sasaran yang lebih realistik sekarang tapi semuanya bergantung kepada defisit dari undi kaum Cina. Jika kita dapat kekalkan undi Cina atau meningkatkannya sedikit, baru kita dapat mencapai kira-kira majoriti 4,000 undi," kata seorang ahli strategi BN yang enggan dikenali.

Para pekerja parti menjelaskan bahawa hanya kira-kira 14,000 pengundi dan jika jumlah yang keluar mengundi hanya 80 peratus, ia bermakna bahawa hanya kira-kira 11,500 pengundi akan keluar mengundi dengan BN dijangka memperoleh kira-kira 7,000 undi dan PAS kira-kira 4,000 undi.

"Angka realistik sepatutnya dalam lingkungan kira-kira 3,000. Anda tidak boleh jadikannya lebih daripada 4,000 undi, kata pekerja itu yang menjelaskan mengenai perkiraannya.

Malah jika mereka tewas dalam pertandingan itu, pakatan pembangkang masih boleh menjejaskan BN, terutama kepada MCA di bawah kepimpinan Presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Labis merupakan kubu kuat Dr Chua dan jika pembangkang mampu mengurangkan bilangan undi Cina kepada BN, ia memberi impak yang serius kepada kepimpinan Dr Chua dalam parti kerana pengkritiknya dalam parti mungkin menggunakan alasan ini untuk memburuk-burukkan beliau.

Oleh itu, seperti yang disebut oleh penganalisis politik di Universiti Monash Prof James Chin, tidak dapat disangsikan bahawa BN akan memenangi kerusi itu tetapi orang ramai lebih berminat untuk melihat bentuk implikasi ke atas parti-parti politik tertentu.

Mungkin sebab itu kenapa Dr Chua telah meningkatkan kempen pilihan raya parti di kawasan Cina termasuk mengadakan beberapa "majlis makan malam besar" di beberapa kawasan secara serentak dalam usaha menyamapaikan mesejnya kepada pengundi selain daripada mengadakan ceramah-ceramah sejak Rabu malam.

Ini nampaknya untuk membalas ceramah kemuncak pembangkang di dua tempat malam ini -- Restoran G & D di bandar Labis dan Taman Tenang Jaya dengan pemimpin teratas pembangkang seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dan setiausaha agung DAP Lim Guan Eng sebagai penceramah utama.

DAP berhempas pulas untuk mendapatkan 70 peratus undi Cina berbanding purata kira-kira 60 peratus pada pilihan raya umum lalu memandangkan mereka mampu mengekalkan jumlah sokongan yang diperolehi sebelum ini, dalam beberapa hari.

"Setakat ini, pengundi mula mesra kepada kami tapi kita tidak boleh menentukan apa-apa lagi kerana kami sedar strategi BN di saat-saat akhir yang mungkin menarik beberapa undi. Keseluruhannya, ceramah kemuncak malam ini merupakan perkara yang penting kerana menjelang esok kami akan hanya memberi perhatian kepada kempen dari rumah ke rumah untuk memberi masa mereka berfikir," kata Pengerusi DAP Johor Dr Boo Cheng Hau.

Statistik menunjukkan bahawa calon PAS mendapat antara 50 peratus dan 67 peratus undi di kawasan majoriti kaum Cina pada pilihan raya umum 2008; sebagai contoh di Labis Tengah, di mana 96 peratus pengundi adalah kaum Cina, PAS memperoleh 66.8 peratus undi.

"Kami berharap dapat menarik undi kaum Cina sehingga 60 peratus di Stesen Tenang manakala bagi Labis Timur dan Tengah, kita harap sokongan itu dapat melepasi 70 peratus kali ini," katanya.

Sama ada sasaran itu dapat dicapai atau tidak belum dapat dilihat tetapi pekerja pilihan raya kedua belah pihak yang berkempen dari rumah ke rumah, memberikan maklum balas bahawa melalui gerak geri mereka, jelas bahawa kebanyakan pengundi telah membuat keputusan.

"Satu perkara yang kita tidak tahu, yang mana satu menjadi pilihan mereka. Kita hanya boleh meneka," kata anggota jawatankuasa pusat MCA Gan Peng Sieu.

Oleh itu, amat difahami kenapa kedua-dua calon menggandakan usaha untuk memenangi hati pengundi Cina seperti mempelajari beberapa perkataan Cina.

Sebagai contoh, calon BN Mohd Azahar Ibrahim telah mempelajari lagu Tahun Baru Cina "Gong Xi Gong Xi" di mana di beberapa majlis makan malam, beliau akan menyanyikan lagu itu yang mendapat pujian daripada mereka yang hadir selain kadang kala beliau menunjukkan kemahiran seni kaligrafi dan membuat juadah pencuci mulut Cina, tang-yuan (bebola beras pulut).

Begitu juga dengan calon PAS, Normala Sudirman, yang mempelajari beberapa patah perkataan Cina dan menunjukkan kemahiran seni kaligrafinya selain mengedarkan kad Tahun Baru Cina yang direka khas kepada para pengundi. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan