Shuhaimi Dan Pegawai Khasnya Beri Keterangan Kepada Polis Hari Ini

Diterbitkan: Khamis, 27 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei dan pegawai khasnya Mohamad Azmin Abdul Karim hari ini memberi keterangan kepada polis mengenai kejadian Pusat Khidmat ADUN itu disimbah cat merah 7 Jan lepas.

Beliau dan Mohamad Azmin tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini pada pukul 4.15 petang untuk memberi keterangan mengenai kejadian itu dan mereka meninggalkan balai polis itu pada pukul 5.40 petang.

Shuhaimi ketika ditemui pemberita berkata ini kali kedua beliau dipanggil untuk membantu siasatan polis berhubung kejadian itu.

"Pembantu saya (Mohamad Azmin) sudah dipanggil lima kali iaitu empat kali bagi membantu siasatan kes simbah cat manakala satu lagi berhubung tulisan mengenai Sultan Selangor dalam blog," katanya.

Pintu masuk ke Pejabat Pusat Khidmat ADUN Sri Muda berkenaan di Kota Kemuning di sini disimbah cat merah dipercayai mempunyai kaitan dengan tulisan kontroversinya mengenai Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam blognya sebelum ini.

Shuhaimi sebelum ini didakwa menghina Sultan Selangor berhubung isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru Datuk Mohamad Khusrin Munawi di dalam blognya srimuda.blogspotcom pada 30 Dis lepas.

Ketika ditanya sama ada pihak istana sudah memberi maklum balas mengenai permohonan perkenan menghadap Sultan Selangor bagi menjelaskan tulisan di dalam blognya, Shuhaimi berkata setakat ini beliau belum menerima sebarang jawapan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan