PRK TENANG: SPR Sedia Pelan Kecemasan

Diterbitkan: Khamis, 27 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LABIS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menyiapkan pelan kecemasan sekiranya keadaan banjir yang berlaku di beberapa buah kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.05 Tenang bertambah buruk.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, suruhanjaya itu akan mengadakan mesyuarat tergempar sekiranya keadaan banjir di Tenang menyebabkan pusat mengundi terjejas.

“Akta Pilihan Raya telah menyatakan dengan jelas sekiranya ditakdirkan sesebuah pusat mengundi dilanda banjir yang teruk sehingga orang ramai tidak boleh keluar mengundi,

“SPR mempunyai kuasa adakan mesyuarat tergempar dan membatalkan proses pengundian di pusat yang berkenaan sahaja. Kita akan tetapkan hari lain untuk menjalankan proses pengundian di kawasan yang terjejas akibat banjir itu sahaja,” katanya pada sidang media SPR di Majlis Daerah Labis di sini pada Khamis.

Bagaimanapun, Wan Ahmad menegaskan hanya pusat mengundi yang terjejas sahaja akan ditutup dan proses pengundian di tempat lain akan berjalan seperti biasa.

“Kita sentiasa berkomunikasi dengan Jabatan Meteorologi mengenai cuaca di Labis untuk tempoh 24 jam akan datang. Tetapi saya difahamkan di Tenang ini tidak pernah berlaku suasana banjir buruk seperti itu kecuali di negeri-negeri Pantai Timur. “Di Johor ini mengikut Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Md Asri Amir sekolah-sekolah di DUN Tenang ini berada di kawasan yang tinggi cuma kampung pengundi ada yang naik air kerana hujan,” katanya.

Jelasnya, sekiranya kampung dinaiki air maka menjadi tanggungjawab petugas parti yang bertanding sesiapa juga membawa pengundi ke pusat mengundi yang berhampiran bagi membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab memilih wakil rakyat.

“Jika air tenggelam setakat satu kaki, mereka masih boleh keluar mengundi, sekiranya rumah mereka tenggelam maka petugas parti yang bertanding boleh tolong bawa mereka mereka pergi mengundi.

“Yang kita tidak mahu pusat mengundi dilanda banjir, sebab kita ada dokumen pengundian seperti kertas undi, peti undi ini kita perlu jaga betul-betul. Kita jangkakan tidak ada keadaan teruk seperti itu berlaku ,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan pengundi supaya tidak bimbang dengan keadaan tersebut dan keluar mengundi untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Orang kampung jangan risau, mereka boleh keluar mengundi. Kalau tak boleh jalan ada orang akan bantu. Mereka nak sangat satu undi,” katanya.

Hujan lebat sejak dua hari yang lalu mengakibatkan beberapa buah kawasan rendah dalam kawasan DUN Tenang, termasuk Kampung Lembah Bakti dan Ayer Panas, dilanda bencana banjir.

Sejak hari ini, 300 penduduk terdiri daripada 65 keluarga terpaksa dipindahkan ke balai raya kampung berkenaan apabila air sungai berhampiran mula melimpah dan memasuki rumah mereka.

Pada ketika ini, kesemua mangsa banjir di Kampung Lembah Bakti, Tadika Kg Orang Asli dan sekolah Agama Pekan Air Panas.

Pilihan raya kecil DUN Tenang akan diadakan pada 30 Januari ini, berikutan kematian penyandangnya allahyarham Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember tahun lepas akibat kencing manis dan jangkitan kuman dalam darah.

Barisan Nasional diwakili oleh Mohd Azahar Ibrahim akan ditentang oleh calon PAS, Normala Sudirman pada pilihan raya kecil ke-14 negara selepas pilihan raya umum 2008.

Pengundian akan diadakan pada 30 Januari ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan