Gapena, Pena Bantah Pinda Interlok

Diterbitkan: Khamis, 27 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Gabungan Penulis Nasional (Gapena) membantah langkah Kementerian Pelajaran melakukan pindaan bahagian tertentu novel Interlok yang dianggap sensitif kepada masyarakat India.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Gapena, Prof. Datuk Dr Zainal Kling berkata, Gapena tetap akan mempertahankan kebebasan penulis berkarya sekali gus tidak bersetuju dengan pindaan yang hendak dilakukan ke atas novel Interlok.

"Novel itu menggunakan konsep yang mencerminkan realiti masyarakat di India pada waktu itu. Novel itu tidak menggunakan perkataan untuk merujuk kepada masyarakat India di Malaysia," tegasnya ketika dihubungi MStar Online.

Hasil karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussin itu kini digunakan sebagai teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan Lima.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan Khamis mengumumkan kerajaan telah mengambil keputusan untuk mengekalkan novel Interlok sebagai teks sastera tingkatan lima dengan membuat pindaan kepada bahagian-bahagian yang sensitif kepada masyarakat India.

Katanya, persetujuan tersebut dicapai hasil perbincangan dengan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel dan wakil MIC dan ia telah mendapat restu daripada perdana menteri.

Mengulas lanjut, Zainal berkata, dalam plot ceritanya, watak Maniam diceritakan meninggalkan negara asalnya iaitu India dan meninggalkan kastanya sebelum akhirnya tiba ke Tanah Melayu.

Jelasnya lagi, penulis tidak lagi menyentuh tentang kasta Maniam selepas itu.

"Jadi bermakna penulis telah membela kebajikan Maniam dan tidak lagi menyebut tentang kasta. Gapena dengan itu mempertahankan novel itu seperti mana sedia adanya," kata beliau.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Mohamad Saleeh Rahamad menegaskan dalam dialog yang diadakan sebelum ini, segala hujah pihak terbabit telah dibahaskan dengan MIC dan kementerian telah "mematahkan" hujah mereka.

Katanya, sekiranya tuntutan tersebut dilayan, pihaknya bimbang tuntutan demi tuntutan akan dibuat pada masa hadapan.

"Dalam dialog di Rumah Universiti semalam (Rabu) misalnya, kita dapati wakil MIC kemukakan hujah yang dulu tidak timbul sama sekali.

"Ternyata ini adalah suatu permainan politik oleh pihak tertentu," katanya.

Dalam pada itu, isteri kepada Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain, Datin Siti Saroja Basri ketika dihubungi berkata, suaminya kini sedang sakit dan enggan mengulas lanjut mengenai isu berkenaan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan