Suruhanjaya Siasatan Diraja Kematian Teoh Beng Hock Bukti Ketelusan Kerajaan

Diterbitkan: Rabu, 26 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LABIS: Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja dengan skop termasuk menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock, pembantu khas seorang anggota exco kerajaan negeri Selangor, menunjukkan ketelusan dan kejujuran kerajaan dalam mencari punca kematiannya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Beliau yang menganggap keputusan memperluaskan skop itu sebagai tepat memandangkan sekiranya sesebuah suruhanjaya ditubuhkan bagi mengkaji atau meneliti sesuatu prosedur, ia akan meneliti sama ada ia ada kaitan dengan sebab-sebab kematian bagi mendapatkan gambaran yang jelas.

"Sekiranya tidak, nama SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) tidak dapat dibersihkan. Sekiranya terdapat apa-apa yang disyaki, tindakan boleh diambil," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra dengan Rukun Tertangga anjuran Jabatan Perpaduan Negara di Kampung Paya Merah di sini hari ini.

Sehubungan itu, Koh yang juga Presiden Gerakan berkata dengan kebijaksaan dan keyakinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, orang ramai akan mendapat tahu kebenaran dan memulihkan keyakinan pada SPRM.

"Perkara ini telah dibincang secara teliti dalam kabinet. Selepas rundingan, beliau (PM) memaklumkan kepada kabinet (keputusan menyiasat punca kematian itu) selepas kita bincangkannya beberapa kali," katanya.

Koh berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Perdana Menteri hari ini mengenai penubuhan suruhanjaya itu yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen bagi menyiasat kematian Teoh yang ditemui mati selepas beliau disoal siasat oleh SPRM dua tahun lepas.

Suruhanjaya itu ditubuhkan selepas perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, dianggotai dua bekas hakim dan dua pakar forensik dan dibantu empat pegawai undang-undang.

Mereka termasuk bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T. Selventhiranathan, pakar forensik iaitu Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik dan Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Dalam pengumumannya, Najib berkata suruhanjaya itu turut akan menyiasat sama ada terdapat apa-apa ketidakwajaran dalam perjalanan siasatan SPRM terhadap Teoh berhubung dengan Perintah-perintah Tetap dan amalannya dan untuk mengesyorkan sebarang tindakan yang sesuai, jika perlu. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan