Laporan Siasatan Insiden Pesawat AirAsia Siap Mei Ini

Diterbitkan: Rabu, 26 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Laporan siasatan insiden pesawat AirAsia tergelincir ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada 10 Januari lepas dijangka siap Mei ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) memerlukan tempoh yang lama untuk menjalankan siasatan bagi memastikan insiden seperti itu tidak berulang.

"Kita menjangka akan mendapat laporan lengkap siasatan pada 14 Mei nanti," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat tertutup perkembangan terkini projek menaik taraf LTAK, di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 10.02 malam itu, penerbangan AK5218 yang berlepas dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) Kuala Lumpur terbabas dari landasan ketika mendarat dalam keadaan hujan lebat.

Kejadian itu menyebabkan LTAK ditutup selama 23 jam dan menjejaskan 110 penerbangan. Mengulas mengenai kerja menaik taraf lapangan terbang itu, Abdul Rahim berkata beliau berpuas hati dengan perkembangan projek tersebut yang kini di peringkat akhir.

Projek itu katanya, telah meningkatkan jumlah penumpang yang dikendalikan LTAK daripada 3.6 juta pada 2009 kepada 3.7 juta tahun lepas.

"Polisi ruang udara terbuka kerajaan dalam dasar penerbangan telah mengalakkan syarikat penerbangan luar beroperasi sekali gus membawa penumpang masuk ke negara ini dan kita yakin LTAK mampu menampung enam juta penumpang pada masa akan datang," katanya.

Katanya setakat ini tujuh syarikat penerbangan beroperasi di LTAK iaitu Penerbangan Malaysia, AirAsia, Royal Brunei, Batavia Air, FireFly, MasWing dan Transmile Group. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan