Perkhidmatan Penghantaran Ubat Melalui Pos

Diterbitkan: Isnin, 24 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kerajaan pada Isnin melancarkan perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP) 1Malaysia yang dapat menghantar ubat kepada pesakit melalui perkhidmatan pos laju.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata melalui perkhidmatan itu, pesakit yang menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan ubat susulan, tidak perlu datang ke hospital untuk mendapatkannya kerana ubat boleh dihantar ke rumah, pejabat atau mana-mana destinasi pilihan pesakit.

Namun beliau menjelaskan perkhidmatan berkenaan lebih khusus bagi pesakit kronik seperti penghidap darah tinggi dan diabetes yang telah stabil dengan rawatan pengubatan dan mempunyai tahap kefahaman yang tinggi terhadap ubat yang dipreskripsikan oleh doktor kepada mereka sebelum ini.

Beliau berkata kos kiriman ubat akan ditanggung oleh pesakit sendiri iaitu RM3.50 bagi kawasan Putrajaya, RM5 bagi kiriman di Semenanjung Malaysia dan RM8 bagi Sabah dan Sarawak.

"Kos kiriman yang ditetapkan adalah minima berbanding dengan perbelanjaan tambang, minyak dan tol yang ditanggung jika pesakit perlu datang sendiri untuk mengambil ubat, terutama sekali bagi mereka yang tinggal jauh dari hospital atau Klinik Kesihatan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran perkhidmatan UMP 1Malaysia di Hospital Putrajaya di sini. Liow berkata pesakit tidak perlu bimbang dengan kaedah penghantaran ubat sedemikian kerana pihak hospital dan Pos Malaysia tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan ubat-ubatan dan telah mengambil langkah yang sewajarnya bagi menjaga keselamatan ubat.

Beliau berkata hasil tinjauan yang dijalankan, mendapati 74.7 peratus pesakit berpendapat bahawa perkhidmatan itu memang diperlukan untuk memudahkan pengambilan ubat susulan.

Katanya projek perintis perkhidmatan tersebut dimulakan di Hospital Putrajaya pada Oktober 2009 dan sehingga Disember tahun lalu, seramai 1,054 pesakit telah menggunakan perkhidmatan itu.

"Bagi bulan ini sahaja, sebanyak 296 permohonan baru diterima. Memandangkan perkhidmatan tersebut mempunyai implikasi positif bagi kemudahan rakyat, ia telah diperluaskan ke 26 unit farmasi iaitu di semua hospital utama setiap negeri termasuk Hospital Selayang, Klinik Kesihatan Putrajaya dan Klinik Kesihatan Luyang, Sabah.

"Perkhidmatan ini akan dikembangkan secara berfasa ke semua fasiliti lain. Sistem itu sudah ada. Ia hanya perlu diperkembangkan sahaja," katanya.

Mengenai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Kementerian Kesihatan, Liow berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan membuat penilaian minggu ini.

Pengenalan perkhidmatan UMP 1Malaysia turut menyumbang kepada kejayaan KPI beliau (Perdana Menteri) iaitu 97 peratus (31.4 juta preskripsi) daripada sasaran 100 peratus preskripsi telah dibekalkan dalam masa tidak lebih daripada 30 minit, katanya.

Beliau berkata ini kerana pesakit lain yang datang ke hospital atau klinik secara tidak langsung mendapat faedah daripada segi pengurangan masa menunggu di bahagian farmasi untuk mendapatkan ubat. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan