MB Selangor Label BN Penderhaka Kepada Institusi Raja-Raja

Diterbitkan: Isnin, 24 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Isnin melabelkan Barisan Nasional (BN) sebenarnya penderhaka kepada institusi raja-raja.

Sambil merujuk kepada krisis Perlembagaan 1993, Abdul Khalid mendakwa kerajaan Persekutuan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri ketika itu telah melakukan pindaan yang telah menghakis kuasa-kuasa institusi raja-raja.

"Derhakakah kami jika kami mahu mengembalikan kedaulatan negeri dan baginda Sultan (Selangor) yang memerintah negeri yang berdaulat ini?

"Derhakakah mereka (Anggota Dewan Undangan Negeri Selangor dari BN) jika mereka menolak atau lari daripada menerima usul pindaan ini?, katanya di dalam ucapan pembentangan cadangan pindaan Perkara 52 (1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 pada sidang khas Dewan Undangan Negeri di sini.

Pindaan itu bagi mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang negeri yang kini di bawah kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkaitan, iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Menteri Besar berkata pindaan itu dicadangkan kerana jika pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang dan Pegawai Kewangan Negeri tidak dilakukan dengan telus, ia boleh diputarbelitkan oleh banyak pihak.

Pelantikan itu boleh diputarbelitkan sama ada oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, pegawai kerajaan di Istana dan di Pejabat Menteri Besar atau perkhidmatan awam, katanya.

Abdul Khalid berkata tindakan kerajaan Persekutuan menerusi Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan melantik Pegawai Eksekutif Ex-Officio dengan membelakangkan Menteri Besar yang dipilih rakyat lantas berselindung pula di sebalik Istana yang ditaati rakyat adalah amalan salah dan menghina kebijaksanaan.

Cadangan pindaan itu kemudiannya disokong oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan negeri Teresa Kok.

Sementara itu, keadaan dalam dewan agak "panas" apabila berlaku pertikaman lidah antara Mohamed Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa) dan Ketua Pembangkang Datuk Mohamad Satim Diman (BN-Seri Serdang) selepas Mohamed Azmin semasa membahaskan cadangan pindaan itu berkata UMNO yang sebenarnya menderhaka kepada Sultan.

Bagaimanapun, kenyataan itu dibidas oleh Mohamad Satim bahawa pakatan pembangkang sebenarnya yang menderhaka.

"UMNOlah yang menderhaka," kata Mohamed Azmin dan dibalas oleh Mohamad Satim "Pakatan Rakyat paling derhaka".

Mohamed Azmin membalas:"Dr Mahathir adalah penderhaka dan UMNO adalah pengkhianat."

Beliau mendakwa UMNO telah memindahkan kekebalan Raja-Raja kepada Dr Mahathir yang ketika itu Perdana Menteri.

Mohamad Satim dengan sinis mengingatkan Mohamed Azmin supaya jangan lupa bahawa ketika pindaan menghakis kuasa raja-raja itu dibuat oleh kerajaan Persekutuan, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu merupakan seorang menteri di dalam Kabinet Dr Mahathir.

Sebelum itu, Azmin berkata Adun Selangor daripada DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat tidak menghadapi sebarang "pertembungan persefahaman" dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohd Khusrin Munawi walaupun pelantikannya mendapat bantahan kerajaan negeri.

Katanya apa yang mereka kurang senang ialah terhakisnya peranan Sultan Selangor dan konsultasi dengan Menteri Besar dalam soal pelantikan SUK dan dua lagi pegawai kanan di negeri itu dalam Perkara 52 Undang-undang Tubuh Negeri Selangor.

"Maka, sebab itulah kami hendak meminda perkara itu bagi memulangkan kuasa Sultan dan Menteri Besar dalam pelantikan bagi tiga jawatan itu, yang (kini) terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)," katanya ketika membahaskan Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor (Bahagian Kedua) (Pindaan) 2011.

Pelantikan Mohd Khusrin oleh SPA mendapat bantahan kerajaan negeri Selangor yang memberi alasan ia dibuat tanpa merujuk kepada Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Suasana dewan menjadi sedikit kecoh apabila Azmin merujuk Dr Mahathir sebagai 'mamak Bendahara' berhubung isu penghinaan terhadap institusi Kesultanan Melayu. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan