Lanun Somalia Dijangka Sampai Di Malaysia Isnin Ini Untuk Diadili

Diterbitkan: Isnin, 24 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tujuh orang lanun Somalia yang ditahan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Teluk Aden Jumaat lepas kerana merampas kapal dagang MT Bunga Laurel dijangka tiba di negara ini Isnin depan untuk diadili.

Menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kesemua mereka yang kini dalam perjalanan dijangka tiba di Pelabuhan Klang.

"Sebaik tiba mereka akan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan cek pampasan kepada balu enam anggota tentera darat yang terkorban semasa bertugas di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di sini, Isnin.

Dalam kejadian serang lanun tersebut, ATM berjaya menyelamatkan MT Bunga Laurel selepas dua jam ia ditawan lanun kira-kira 300 batu nautika (555 kilometer) di timur Oman.

Misi menyelamat itu dilakukan bersama oleh kapal bantuan dan tugas-tugas khas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Bunga Mas 5 di dalam Operasi Fajar yang ditugaskan memberi perlindungan kepada kapal MT Bunga Laurel ketika ia melalui perairan Teluk Aden.

Kira-kira pukul 11.40 malam pada hari Jumaat tersebut, kapal dagang itu yang disewa MISC Berhad telah ditawan sekumpulan tujuh lanun warga Somalia yang bersenjatakan AK-47 dan pistol.

Namun seramai 23 anak kapal dagang berkenaan berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan manakala kesemua tujuh lanun itu berjaya ditahan dan tiga daripada mereka turut cedera.

Ahmad Zahid berkata kesemua lanun itu berada dalam jagaan yang baik oleh ATM termasuk memberi rawatan kepada lanun yang cedera.

"Walaupun kita tahu mereka lanun dan dari segi perundangan kita tidak akan berkompromi, namun dari segi kemanusiaan kita beri layanan sewajarnya termasuk menjaga makan minum mereka," katanya.

Diminta mengulas tentang kenyataan Tentera Laut Kesatuan Eropah bahawa mereka tidak akan mengambil tindakan yang serupa yang dilakukan oleh ATM kerana menganggap serbuan seumpama itu boleh membahayakan nyawa tebusan, Ahmad Zahid: "EU harus menghormati cara kita sebagaimana kita menghormati cara mereka."

Beliau berkata ATM telah mengambil tindakan awal dari segi pencegahan bagi memastikan pihak lanun tidak menjadikan anak kapal sebagai tebusan.

Ahmad Zahid menyampaikan pampasan daripada PBB kepada enam balu berkenaan yang antaranya terdiri daripada Kamisah Hamdah, isteri kepada Pegawai Waran II Azman Mohd Tahir yang terbunuh dalam serangan hendap puak militia Somalia terhadap pasukan PBB pada 18 Julai 1994.

Biah @Rabiah Dollah, isteri kepada Sarjan Abd Kadir Bakri yang terbunuh dalam kemalangan semasa dalam perjalanan balik dari mengiring konvoi logistik Brown Root dan Hunter Base ke Lapangan Terbang Mogadishu pada 15 Oktober 1994.

N. Nalini, isteri Koperal R. Magendran yang meninggal akibat demam ketika menjalankan tugas di Kemboja bersama-sama pasukan PBB pada 27 Ogos 1992, Siti Zauyah Yahya, isteri kepada Koperal Mat Aznan Awang yang terbunuh ketika cuba menyelamatkan anggota tentera Amerika Syarikat daripada kepungan militia Somalia di Mogadishu pada 1993.

Mereka menerima antara RM143,073.36 hingga RM285,143.27 seorang.

Ahmad Zahid turut menampaikan Pingat Jasa Malaysia (PJM) bagi memberi penghargaan kepada mereka yang berjasa dalam menentang pengganas komunis antara tahun 1969 hingga 1989.

Mereka terdiri daripada Presiden Airod, Kaptem (B) Tan Sri Ahmad Johan; Brigadier Jeneral (B) Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman yang merupakan Pengarah Eksekutif MRO Services; Kolonel (B) Datuk Abdul Hamid Abdullah, Ketua Eksekutif Airod Techno Power Sdn Bhd dan Kolonel (B) Mohamed Selamat Bakin, Ketua Eksekutif Technology System Corp Sdn Bhd. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Kolumnis

iklan

Iklan