Kerajaan Selangor Didakwa Ambil Alih Kuasa Eksekutif Pilih SUK

Diterbitkan: Isnin, 24 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak sepatutnya menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk memilih calon Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang baru kerana hanya dianggotai oleh "orang politik", persidangan khas Dewan Undangan Negeri Selangor diberitahu pada Isnin.

Datuk Mohd Shamsuddin Lias (BN-Sungai Burong) berkata mengikut kenyataan bekas SUK Datuk Ramli Mahmud, nama lapan orang pegawai kanan kerajaan negeri dicadangkan kepada sultan Selangor, Menteri Besar dan Ketua Setiausaha Negara, untuk dipilih sebagai SUK baru, tiga bulan sebelum beliau bersara awal pada 21 Disember 2010.

"Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk berunding dengan Ketua Setiausaha Negara calon yang layak dan sesuai untuk perkenan Sultan," katanya ketika membahaskan cadangan pindaan undang-undang tubuh kerajaan negeri bagi mengembalikan kepada Sultan dan Menteri Besar Selangor kuasa untuk melantik SUK, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang.

Mohd Shamsuddin berkata Abdul Khalid Besar sepatutnya berunding dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan bagi menyenaraipendekkan tiga calon yang layak tetapi ini tidak dilakukan.

Sebaliknya, Menteri Besar menubuhkan satu jawatankuasa pemilihan yang dianggotai oleh orang politik iaitu Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Teng Chang Khim dan dua anggota exco kerajaan negeri Selangor Dr Xavier Jayakumar dan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.

Beliau berkata sepatutnya calon-calon itu hanya layak ditemuduga oleh seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik memegang gred Jusa C yang terletak di bawah kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Jabatan Perkhidmatan Awam.

"Kerajaan negeri telah membelakangkan sistem yang ada," katanya.

Mohd Shamsuddin berkata tindakan menubuhkan jawatankuasa pemilihan SUK itu telah menyebabkan dua daripada lapan calon tidak mahu hadir kerana jawatankuasa itu dianggap tidak sah daripada segi peraturan dan undang-undang.

Katanya tindakan jawatankuasa itu yang menghantar tiga nama kepada Sultan Selangor untuk mendapat perkenan tidak boleh diterima pakai.

"Di sinilah kesilapan kerajaan negeri yang telah mengambil alih kuasa eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia," katanya.

Sementara itu, Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) berkata usul pindaan itu tidak memberikan kuasa terakhir kepada Sultan Selangor dalam melantik tiga pegawai eksekutif negeri ini.

Ini kerana, katanya, berdasarkan pindaan itu, Sultan Selangor atas cadangan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) hendaklah melantik tiga pegawai berkenaan tetapi hendaklah mendapatkan nasihat Menteri Besar.

Katanya, sekiranya Sultan Selangor tidak bersetuju nasihat Menteri Besar itu, baginda boleh merujuk sekali lagi kepada SPA untuk dipertimbangkan semula.

"Bagaimanapun, pada akhirnya, (dalam) pelantikan tiga jawatan berkenaan baginda hendaklah mengikut nasihat Menteri Besar. "Ini bermakna, kuasa Sultan adalah terhad dan kuasa terakhir adalah kepada Menteri Besar," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan