Pinda Perlembagaan Negeri: Taktik Kotor Pembangkang Untuk Kekal Kuasai Selangor

Diterbitkan: Sabtu, 22 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan negeri Selangor mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Isnin ini dilihat sebagai mahu mengekalkan kuasa dan menarik sokongan Melayu, kata beberapa penganalisis politik.

Tindakan itu, kata mereka, turut mencerminkan keadaan terdesak kerajaan negeri dibawah pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR)-DAP-PAS untuk mengekalkan survival parti masing-masing supaya kekal relevan di negeri tersebut.

Ada di antara mereka pula mempersoalkan keperluan mengadakan persidangan itu memandangkan kerajaan negeri Selangor tidak mempunyai kekuatan untuk mendapatkan undi dua pertiga daripada jumlah anggota DUN bagi meluluskan pindaan tersebut.

Mereka berkata PKR-DAP-PAS hanya memiliki 35 daripada 56 kerusi dalam DUN, dan BN 20 kerusi dan satu kerusi milik anggota Bebas, dan untuk mendapat sokongan dua pertiga bagi meluluskan pindaan itu, kerajaan negeri Selangor memerlukan 37 undi.

Mereka mempersoalkan mengenai kemampuan kerajaan negeri itu mendapatkan dua lagi undi bagi melengkapkan keperluan 37 undi bagi meluluskan pindaan tersebut.

Bagi penganalisis-penganalisis politik yang ditemui Bernama, mereka bersependapat kerajaan negeri Selangor sengaja mempolitikkan isu itu kerana tidak mahu mengiktiraf pelantikan Datuk Mohamad Khusrin Munawi, 54, oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor yang baru sehingga membawa kepada isu pindaan undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959.

Pensyarah Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Sivamurugan Pandian berkata: "Walaupun (kerajaan negeri) tahu mereka tidak akan mendapat majoriti dua pertiga, tetapi mereka tetap mahu melakukannya.

"Persoalannya sekarang, apakah sidang DUN itu akan tetap dilakukan juga jika Khusrin tidak dilantik? Apakah yang akan berlaku sekiranya sidang DUN ini tidak mendapat dua pertiga majoriti? Adakah kerajaan negeri sedia menerima hakikat ini?." tanya beliau.

Beliau melihat, jika anggota DUN Barisan Nasional (BN) membuat keputusan yang kolektif adalah mustahil bagi kerajaan negeri Selangor mendapat sokongan dua pertiga jumlah undi yang diperlukan.

Sivamurugan berkata tindakan meminda undang-undang tubuh negeri itu juga dilihat sebagai usaha untuk memerangkap BN yang sebelum ini sering mempertahankan Institusi Raja-Raja.

"Walaupun kata nak kembalikan kuasa Sultan, tapi pada saya sebenarnya ini lebih kepada untuk memberikan Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) kuasa. Pindaan ini sekadar untuk membawa usul seolah-olah mereka mempertahankan Intitusi Raja-Raja," dakwanya.

Prof Dr Ahmad Atory Hussein dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) pula berpendapat tindakan kerajaan Selangor mengadakan sidang DUN khas adalah satu "helah politik bagi memerangkap BN yang selama ini mempertahankan Institusi Raja-Raja."

Beliau berkata tidak mustahil kerajaan Selangor akan menggunakan tindakan anggota DUN BN tidak menyokong pindaan itu dengan mendakwa BN tidak mempertahankan Institusi Raja-Raja ekoran tidak menyokong cadangan pindaan itu yang didakwa untuk mengembalikan kuasa Sultan.

Beliau mendakwa tindakan Abdul Khalid mengadakan sidang DUN khas itu hanya satu sandiwara pembangkang untuk "mengheret Institusi Raja-Raja ke kancah politik." "Pada saya, (tindakan Khalid) hanya untuk mengukuhkan kuasa kerajaan negeri di Selangor. Pada saya tak perlu diusik prosedur melantik SUK ini," katanya.

Bagi Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawan Teh pula menegaskan isu pelantikan seseorang penjawat awam sepatutnya tidak jadikan bahan politik oleh mana-mana pihak.

Ini adalah kerana seorang penjawat awam perlu menjalankan tanggungjawab tanpa bersifat politik, katanya.

"Pada saya, setiap penjawat awam akan melakukan kerja mereka seperti biasa dan tidak terlibat dalam pergolakan politik," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan