Penjawat Awam Digesa Hindari Budaya Robot

Diterbitkan: Jumaat, 21 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Penjawat awam di Sarawak digesa menghindari budaya robot, sebaliknya berfikiran kritis dan konstruktif semasa menjalankan tugas masing-masing.

Setiausaha Persekutuan Sarawak Datuk Md Yahya Basimin berkata kewujudan budaya inovasi membolehkan lebih banyak idea kreatif dan inovatif dicetuskan agar tahap kualiti serta produktiviti sesebuah organisasi terus berkembang.

"Kita harus menganggap teguran atau aduan sebagai satu cabaran untuk kita melihat semula proses kerja, peraturan serta pendekatan yang mungkin pada masa ini memerlukan pengubahsuaian dan penambahbaikan.

"Apabila budaya inovasi ini dapat diterapkan dalam perkhidmatan awam, sudah tentu ia akan menjadikan mutu perkhidmatan dan pelaksanaan tugas kita lebih cekap, pantas serta produktif," katanya pada perhimpunan bulanan agensi persekutuan dan badan berkanun di sini Khamis.

Md Yahya berkata walaupun Pejabat Biro Pengaduan Awam Sarawak masih menerima aduan berhubung penjawat awam, namun ia tidak menggambarkan kemerosotan mutu perkhidmatan, sebaliknya mencerminkan kehendak rakyat yang mahukan perkhidmatan terbaik.

"Sebagai penjawat awam, kita boleh jadikan ia asas untuk kita sentiasa berusaha memperbaiki perkhidmatan yang disediakan. Harapan saya ialah sama-sama kita berusaha agar tahun ini kita dapat melaksanakan tugas kita dengan lebih berkesan dan (memperoleh) pencapaian yang lebih baik," katanya.

Md Yahya menyarankan semua ketua jabatan dan agensi kerajaan agar mengambil tindakan tegas terhadap penjawat awam yang melanggar undang-undang serta peraturan berkaitan keselamatan perlindungan semasa selain membocorkan rahsia, cuai atau lalai ketika bertugas.

Beliau berkata kegiatan sabotaj, subversif, kecurian, pemalsuan, pelampau dan sebagainya akan menjejaskan kestabilan keselamatan, pertahanan, ekonomi atau perjalanan fungsi kerajaan, dan ia harus segera dibendung.

"Keprihatinan ini adalah dituntut dan mendorong tindakan proaktif kita semua bagi memastikan jabatan dan agensi kerajaan sentiasa diberikan perlindungan terhadap keselamatannya," katanya.

Beliau turut menyarankan semua jabatan dan agensi persekutuan bertindak memperkukuh strategi komunikasi bagi menyebarkan maklumat mengenai penambahbaikan serta pembaharuan positif yang bakal dilaksanakan kepada orang ramai. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan