Muhyiddin Ucap Takziah Kepada Keluarga Allahyarham ADUN Merlimau

Diterbitkan: Jumaat, 21 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan takziah kepada keluarga anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Merlimau, Melaka, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan, yang kembali ke rahmatullah malam Khamis.

"Saya dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman ingin merakamkan ucapan takziah kepada anggota keluarga Allahyarham Datuk Mohamad Hidhir.

"Beliau adalah seorang pemimpin yang bersikap rendah diri serta sentiasa bersedia menawarkan bantuan bukan sahaja kepada penduduk di sekitar kawasan Merlimau malah juga kepada rakyat Melaka," kata Muhyiddin dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Timbalan Perdana Menteri berkata ia bersesuaian dengan jawatan Allahyarham sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian Negeri.

Katanya kehilangan Allahyarham bukan sahaja dialami oleh kaum keluarga beliau, malah turut dirasai oleh para penduduk Merlimau.

"Semoga Allah memberi kesabaran kepada keluarga Allahyarham Datuk Mohamad Hidhir dalam menghadapi kehilangan insan tersayang. Kami berdoa semoga Allah S.W.T. mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan semoga beliau dihimpunkan bersama golongan orang yang soleh," katanya.

Mohamad Hidhir, 54, yang mengalami serangan jantung sejak Sabtu lepas meninggal dunia di Hospital Pakar Putra, Melaka pada pukul 8.10 malam.

Allahyarham berada dalam keadaan koma serta kritikal petang Khamis dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan semasa dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan