Hishammuddin Sifatkan Golongan Eksploitasi Isu Interlok Sebagai Pengecut

Diterbitkan: Jumaat, 21 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KLUANG: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Jumaat, menyelar tindakan pihak-pihak yang mengeksploitasi isu novel "Interlok" sebagai pemimpin pengecut dan berfikiran sempit.

Hishammuddin berkata golongan berkenaan hanya pandai memainkan isu tetapi tidak bijak mencari jalan penyelesaian.

"Orang yang memecah-belahkan, mereka yang mempolitik dan mengeksploitasikan sebenarnya adalah pemimpin yang pengecut, pemimpin yang berfikiran sempit yang mengambil jalan mudah. Akhirnya, anak-anak kita yang tidak berdosa menjadi mangsa," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan dan bantuan kepada 279 pelajar miskin dan cemerlang Parlimen Sembrong, di sini, Jumaat.

Hishammudin yang juga Naib Presiden Umno berkata sebagai bekas Menteri Pelajaran yang berkhidmat selama lima tahun sebelum ini, beliau sangat memahami perkara yang boleh menjadi sensitif mahupun eksklusif.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak-pihak berkepentingan dalam membincangkan isu Interlok mengambil pendekatan "menang-menang" bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Hishammuddin berkata beliau percaya usaha Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengarahkan perbincangan dengan pihak-pihak berkepentingan merupakan jalan terbuka bagi mewujudkan persefahaman.

"Menerusi dialog, saya harap ianya dapat hasilkan satu fahaman yang menang-menang. Kalau tidak, seperti biasa, apa jua isu yang berhubung kait dengan pendidikan boleh diputar-belitkan kepada isu perkauman dan agama," katanya.

Novel karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu menimbulkan kontroversi kerana terdapat kandungannya yang dikatakan menyinggung perasaan masyarakat India di negara ini.

Menyentuh Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kawasan Tenang, Hishammuddin berharap proses penamaan calon esok berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah bersiap sedia mengawal keselamatan.

"Kali ini persiapan cukup rapi. Cuma masalah yang ada hanya jalan sempit dan ada jalan tertentu yang ditutup esok. Bagaimanapun, saya harap tiada insiden tidak diingini," katanya.

Barisan Nasional menamakan bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Batu Pahat Mohd Azahar Ibrahim, 39, sebagai calonnya manakala PAS menamakan Ketua Muslimat parti itu di Labis, Normala Sudirman, 39, sebagai calonnya.

Hari mengundi ialah 30 Januari. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan