Jutaan Penganut Agama Hindu Sambut Thaipusam

Diterbitkan: Khamis, 20 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jutaan penganut agama Hindu di Malaysia hari ini menyambut perayaan Thaipusam dengan mengunjungi beberapa kuil di seluruh negara bagi menghormati hari kelahiran Dewa Murugan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut bersama penganut Hindu yang meraikan perayaan tersebut dengan meluangkan masa memberikan ucapan ringkas kepada lebih 1.3 juta penganut dan pengunjung yang membanjiri Kuil Sri Subramaniyar Swami di Batu Caves di sini.

Walaupun cuaca agak panas terik, ia tidak menghalang kira-kira 2,000 penganut membawa palkudam (belanga susu) dan lebih 1,000 yang membayar nazar dengan membawa kavadi, selain memecahkan kelapa serta mencukur rambut sebagai penebus dosa.

Lalu lintas serta keadaan sekitar juga dilihat terkawal dengan kehadiran 1,200 anggota polis dan juga Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Sehingga tengah hari tadi, laluan ke Batu Caves bergerak lancar kecuali di Lebuhraya Lingkaran Kedua (MRR2) yang agak sesak terutamanya pada awal pagi tadi.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, kemeriahan sambutan Thaipusam di Batu Caves turut dirasai ratusan pelancong asing yang begitu teruja untuk turut sama menaiki 272 anak tangga kuil berkenaan.

Seorang pelancong dari Perth, Australia, Daniela Kelly, 34, berkata walaupun beliau telah melawat Malaysia dua kali, beliau tidak pernah melihat sambutan perayaan yang unik itu yang menghimpunkan bilangan pengunjung yang ramai pada satu masa.

"Ia sangat berwarna-warni dan sudah pasti saya tidak akan melepaskan peluang untuk menyaksikan sambutan ini sekali lagi pada tahun depan," katanya.

Cho Sung Wook, 36, dari Korea Selatan sangat kagum dengan sambutan perayaan itu dan ia adalah suatu pengalaman yang akan dikongsi bersama rakan-rakannya apabila beliau kembali ke negaranya.

Thaipusam adalah perayaan yang disambut oleh penganut agama Hindu semasa bulan penuh Tamil yang dipanggil Thai (berlaku dalam bulan Januari atau Februari).

Turut dikenali sebagai Thaipooyam atau Thaippooyam dalam bahasa Malayalam, perayaan ini bagi memperingati hari lahir Dewa Murugan iaitu anak bongsu lelaki Dewa Shiva dan Dewi Parvati.

Ia juga bagi memperingati peristiwa di mana Dewa Murugan menerima lembing suci daripada ibunya bagi menghapuskan kuasa jahat bernama Soorapadman.

Kejayaan Murugan dalam mengembalikan kemakmuran dan kesejahteraan orang ramai telah menjadi satu peristiwa untuk penganut agama Hindu merayakan Thaipusam.

Di IPOH, lebih 20,000 penganut Hindu membanjiri Kuil Arul Subramaniar yang terletak di kawasan batu kapur Gunung Cheroh, di sini, sejak petang semalam bagi menyambut perayaan Thaipusam.

Pelbagai aktiviti keagamaan penganut Hindu diadakan dengan meriah dan warna-warni termasuk perarakan patung Dewa Murugan dari Kuil Sri Maha Mariamman di Sungai Pari ke kuil tersebut.

Persekitaran kuil Arul Subramaniar di sini juga dipenuhi pelbagai gerai-gerai jualan pakaian, permainan, makanan dan minuman di samping beberapa gerai pihak penaja untuk memberi minuman percuma.

Keadaan jalan-jalan utama di bandar raya ini agak tenang kecuali laluan-laluan yang menuju ke kuil Arul Subramaniar yang ditutup sejak petang semalam hingga tengah malam ini.

Sambil membawa periuk susu dan ada yang membawa kavadi, penganut Hindu berduyun-duyun berjalan sejauh 10 km melalui Jalan Sungai Pari, Jalan Tun Perak, Jalan Lahat, Jalan Sultan Yusuff, Jalan Sultan Idris Shah dan Jalan Raja Muda Musa dari Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Sungai Pari sejak semalam.

Di GEORGE TOWN, ratusan ribu penganut agama Hindu dan pelancong membanjiri kuil Hindu di Jalan Kebun Bunga sempena perayaan Thaipusam.

Antara yang hadir pada majlis itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon bersama-sama Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan dan pemimpin parti yang lain.

Koh berkata Pulau Pinang masih menarik ramai pelancong terutama pada musim perayaan dan pengunjung yang hadir hari ini di Pulau Pinang adalah bagus berbanding negeri lain.

"Kita harus merebut peluang ini untuk mengukuhkan hubungan pelbagai kaum di Malaysia ketika menyambut sesuatu perayaan istimewa," katanya selepas melawat Kuil Nattukotai Chettiar di sini, Khamis.

Seorang pelancong dari Poland, Kaleen Aurek, 30, seorang jurutera dari Warsaw, berkata beliau mempunyai banyak cerita mengenai perayaan itu untuk diberitahu apabila pulang ke negaranya.

"Ia adalah sesuatu yang mengejutkan apabila melihat mereka memecahkan buah kelapa dalam kuantiti yang banyak dan ia juga sesuatu yang mengagumkan melihat penganut agama itu menindik muka dan badan mereka dengan pancang logam ketika memikul kavadi," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Kaleen juga tertarik melihat kavadi besar yang dihiasi dengan bunga dan bulu burung merak. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan