Jualan Kenderaan Cecah Paras Tertinggi Tahun Lepas

Diterbitkan: Khamis, 20 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Jualan kenderaan mencecah paras tertinggi dalam sejarah dengan sejumlah 605,156 unit, meningkat 12.7 peratus atau 68,251 unit tahun lepas berbanding 536,905 unit pada 2009, kata Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad.

Jumlah Keluaran Industri (TIV) 2010 melepasi rekod 552,316 unit yang direkodkan pada 2005, katanya kepada pemberita selepas mengumumkan angka pengeluaran dan jualan terkini serta unjuran untuk 2011.

Daripda jumlah jualan itu, kenderaan penumpang menyumbang sebanyak 543,594 unit manakala kenderaan komersil sebanyak 61,562 unit berbanding sebanyak 486,342 unit dan 50,563 unit yang masing-masing dijual pada 2009, katanya.

Aishah berkata prestasi tertinggi itu adalah hasil daripada pelan dan program berani dan baharu yang dilancarkan oleh kerajaan tahun lepas seperti Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi, Model Baru Ekonomi dan Rancangan Malaysia Kesepuluh yang menyumbang kepada keyakinan pengguna dan perniagaan yang lebih tinggi.

Faktor penyumbang lain ialah tawaran inovatif serta menarik dan skim untuk pembeli kereta baharu seperti kadar faedah sewa beli yang lebih rendah, tempoh pembayaran balik yang lebih panjang serta hadiah percuma, katanya.

Kempen jualan yang agresif oleh syarikat kereta dan pengenalan beberapa model baharu pada harga yang kompetitif, turut menyumbang kepada jumlah jualan yang lebih tinggi, katanya.

Model-model Perodua mencatat jualan terbaik tahun lepas dengan 188,641 unit, diikuti Proton 157,274 unit, Toyota 91,559 unit dan Honda 44,483 unit, katanya.

Industri itu mengeluarkan 567,715 unit tahun lepas berbanding 489,269 unit pada 2009, dengan 522,568 unit merupakan kenderaan penumpang dan 45,147 lagi kenderaan komersil.

Bagaimanapun, penguasaan kereta penumpang dipintas oleh kenderaan pelbagai guna (MPV) yang meningkat daripada 13.1 peratus pada 2009 kepada 19.8 peratus pada 2010.

Aishah berkata peningkatan itu sebahagian besarnya hasil daripada sambutan pasaran yagn positif terhadap Proton Exora dan Perodua Alza yang baharu.

Pada Disember 2010, jualan kenderaan mencatatkan pemulihan yang kukuh untuk mencecah 54,765 unit, 22 peratus lebih tinggi berbanding bulan sebelumnya dan 15 peratus lebih tinggi berbanding bulan yang sama pada 2009.

Aishah berkata jumlah jualan dijangka terus kukuh bulan ini memandangkan kedudukan pasaran masih menarik.

Sementara itu jualan kenderaan bermotor dijangka mendatar untuk tempoh beberapa tahun ini selepas mencatatkan pertumbuhan menggalakkan tahun lepas, dirangsang oleh tinjauan ekonomi yang lebih baik.

Aishah berkata jumlah industri disasarkan meningkat tahun ini sebanyak 2.1 peratus atau 1,438 unit kepada 618,000 unit daripada 605,156 unit tahun lepas.

"Saya perlu kata, memikirkan yang kita mempunyai populasi 27 juta penduduk, dan dari segi kadar permotoran, kita mempunyai nisbah setiap empat orang kepada satu buah kereta iaitu sama dengan negara maju walaupun kita masih lagi merupakan negara membangun.

"Pertumbuhan minimal dijangka berlaku untuk beberapa tempoh akan datang dan saya tidak fikir pertumbuhan dua digit seperti tahun lepas akan berlaku.

"Negara dari segi pemilikan kereta telahpun tinggi dan sasaran itu mengambil kira pindaan sebelum ini ke atas tempoh pembayaran semula lima tahun lepas.

"Syarikat-syarikat kewangan telah menukar tempoh pembayaran semula dari lima tahun kepada sembilan tahun dan menjelang 2011, pengguna masih lagi mempunyai empat tahun lebih untuk membayar kenderaan mereka yang telahpun berusia lima tahun dan kita juga perlu mengambil kira jumlah kewangan pengguna sama ada mereka mampu menukar kereta berkenaan dan mendapatkan kereta baharu," kata beliau.

Aishah berkata persatuan menjangkakan TIV akan meningkat satu peratus kepada 624,000 unit pada 2012, 2013 berkembang sebanyak 1.1 peratus kepada 631,000 dan seterusnya 2014 meningkat sebanyak 1.2 peratus kepada 639,000 unit dan 2015 dengan 1.3 peratus pertumbuhan kepada 647,000 unit.

Tahun lepas, sektor automotif mencatatkan 12.7 peratus pertumbuhan dua digit untuk pendaftaran kereta motor baharu, sekali gus mencecah paras tinggi baharu 605,156 unit, melepasi rekod tertinggi sebelumnya 552,316 unit yang dicapai pada 2005.

"Terdapatnya kesan pelbagai hasil daripada projek Rancangan Malaysia Kesepuluh dan Program Transformasi Ekonomi yang kemungkinan memberikan rangsangan seterusnya kepada ekonomi domestik dan seterusnya mewujudkan permintaan yang lebih baik untuk kenderaan baharu.

Aishah berkata sentimen positif pengguna dijangka berterusan ekoran kestabilan yang lebih baik dalam pasaran pekerjaan; pengenalan model-model baharu untuk menjana minat belian; dan tempahan tertunda yang dibawa ke hadapan dari tahun lepas yang akan dipenuhi tahun ini.

Sementara itu, Frost & Sullivan, dalam taklimat tinjauan automotif tahunannya baru-baru ini, telah meramalkan TIV yang lebih tinggi iaitu 623,000 unit tahun ini, dipacu oleh tinjauan ekonomi yang sederhana dan tambahan model kenderaan baharu yang akan menarik minat pengguna. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan