PBSB Mansuh Diskaun Tol Bas Di Jambatan P.Pinang

Diterbitkan: Rabu, 19 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Syarikat konsesi Jambatan Pulau Pinang Penang Bridge Sdn Bhd (PBSB) telah memansuhkan diskaun kadar tol sebanyak 50 peratus kepada semua jenis bas bermula Sabtu lepas.

Jurucakap PBSB berkata tindakan itu adalah selaras dengan keputusan kerajaan pusat agar diskaun kadar tol untuk kenderaan tersebut di semua lebuh raya bertol dimansuhkan.

"Jika sebelum ini bas hanya perlu membayar sebanyak RM12.50 untuk melintasi Jambatan Pulau Pinang, kini dikenakan kadar bayaran RM25 dan ia adalah kadar lama sebelum kadar diskaun diperkenalkan pada tahun 2008," katanya kepada Bernama, di sini pada Rabu.

Bagaimanapun katanya, PBSB masih mengekalkan diskaun sebanyak 20 peratus untuk kereta persendirian yang menggunakan kad 'Touch and Go' keluaran syarikatnya.

Sementara itu, sebuah syarikat bas persiaran Ha Travel ketika dihubungi berkata mereka tidak dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

Sebaliknya, kata jurucakap syarikat itu mereka hanya tahu mengenainya apabila dimaklumkan oleh pemandu bas yang terlibat. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan