1,200 Anggota Polis Bertugas Semasa Thaipusam Di Batu Caves

Diterbitkan: Isnin, 17 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menugaskan 1,200 anggota untuk mengawal keselamatan sekitar Batu Caves semasa perayaan Thaipusam pada hari Khamis ini, yang dijangka dihadiri kira-kira 1.5 juta pengunjung.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata, bagi melancarkan perjalanan trafik, beberapa jalan raya menuju ke kuil Batu Caves itu akan ditutup secara berperingkat.

Beliau berkata, Jalan Batu Caves akan ditutup bermula malam esok sehingga berakhir Thaipusam, manakala Jalan Lingkaran Tengah (MRR2) akan ditutup pada hari Rabu, dan rondaan di Batu Caves akan ditingkatkan mulai esok.

"Dijangka 1.5 juta pengunjung yang terdiri daripada penganut agama Hindu dan pelancong akan mengunjungi Batu Caves sempena Thaipusam pada hari Khamis ini," katanya dalam satu persidangan akhbar di pejabatnya di sini, Isnin.

Beliau seterusnya menasihatkan semua penunggang motosikal yang ingin ke Batu Caves mulai esok supaya menggunakan laluan alternatif seperti Lebuhraya Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE) dan Lebuhraya Utara-Selatan.

Abdul Rahim berkata, laluan ke Batu Caves di Jalan Jalan Tun H.S Lee akan ditutup ekoran perarakan pedati perak (chariot) bermula pagi Rabu dan perarakan dijangka tiba di Batu Caves kira-kira pukul 3 petang.

Beliau berkata, bagi memudahkan pengunjung, kawasan tempat letak kereta sekitar tempat sambutan di Batu Caves akan diperluas selain parkir juga tidak akan dikenakan bayaran.

Katanya, antara laluan alternatif dari pantai timur ke Kuala Lumpur atau arah selatan, pengguna boleh menggunakan Jalan Gombak ke Setapak atau Sentul dan seterusnya ke Kuala Lumpur; atau MRR2 ke Ampang dan ke Kuala Lumpur; serta Jalan Sentul ke Jalan Ipoh dan ke bahagian Utara.

Bagi yang ingin ke Pantai Timur atau Gombak dari Selayang atau bahagian Selatan, antara jalan yang boleh digunakan adalah dari Jalan Sungai Tua ke Jalan Laksamana ke Jalan Kampung Wira Damai dan seterusnya ke Sri Gombak; atau dari Jalan Kuching ke KL dan ke Sentul atau Setapak; serta dari Jalan Kuching ke Lebuhraya Duke dan ke Lebuhraya Karak atau Gombak.

Altenatif lain untuk ke Pantai Timur dari Kepong pula adalah dari Jalan Ipoh ke Jalan Sentul ke Gombak dan seterusnya ke Pantai Timur; atau dari Jalan Kuching ke Jalan Ipoh ke Jalan Setapak dan ke Gombak; serta dari Jalan Kuching ke Lebuhraya Duke dan ke Lebuhraya Karak. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan