Semua Rakyat Malaysia Di Kawasan Bencana Banjir Di Australia Selamat

Diterbitkan: Sabtu, 15 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar berkata pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra mengesahkan bahawa tiada laporan mengenai kematian atau kecederaan membabitkan rakyat Malaysia di kawasan bencana banjir di Queensland, Australia, dan semua rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan itu selamat.

Wisma Putra dalam satu kenyataan di sini malam ini berkata keadaan di kawasan bencana semakin pulih apabila paras air mulai surut, dan usaha membersih serta membaiki pelbagai kerosakan sedang dijalankan.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merakam ucapan simpati kepada Perdana Menteri Australia Julia Gillard, di samping menyampaikan ucapan takziah kepada rakyat Australia terhadap kehilangan nyawa dan harta benda akibat bencana itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman turut merakam ucapan simpati kepada rakan sejawatannya di Australia, Kevin Rudd, dan menyampaikan ucapan takziah buat keluarga yang terlibat dengan bencana banjir itu.

Kenyataan itu turut berkata pihak kementerian akan terus memantau keadaan banjir, dan sentiasa berhubung rapat dengan para pelajar serta lain-lain rakyat Malaysia di kawasan itu.

"Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra juga sedang membuat penyelarasan dengan lain-lain agensi kerajaan serta pihak berkuasa tempatan Australia bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di kawasan itu terjamin," menurut kenyataan itu.

Menurutnya, Kementerian Luar sudah mewujudkan talian untuk dihubungi oleh orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat mengenai perkembangan terkini keadaan banjir di Australia.

Orang ramai boleh menghubungi Jabatan Konsular Kementerian dengan menelefon 03-8887 4047, manakala untuk panggilan di luar waktu pejabat atau hari cuti, pegawai bertugas boleh dihubungi dengan menelefon 03-8889 2746 dan 03-8887 4750. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan