Polis Perlu Sedikit Masa Lagi Lengkapkan Kertas Siasatan Kes Hina Sultan Selangor

Diterbitkan: Sabtu, 15 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis memerlukan sedikit masa lagi untuk melengkapkan kertas siasatan berhubung dakwaan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei menghina Sultan Selangor di dalam blognya, sebelum dibawa ke Jabatan Peguam Negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata kes tersebut masih dalam siasatan.

"Buat masa ini kita akan melihat dan berbincang dengan Attorney-General's chambers (Pejabat Peguam Negara) untuk sebarang keputusan dan berkemungkinan ada arahan-arahan tertentu yang kita kena terima lagi," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Shuhaimi sebelum ini dikaitkan dengan kontroversi yang mendakwa beliau menghina Sultan Selangor 'beraja di mata, bersultan di hati' dalam blognya pada 30 Dis lepas.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan pada 4 Jan lepas, berkata sindiran Shuhaimi yang menyatakan baginda seolah-seolah sebagai "beraja di mata, bersultan di hati" adalah amat keterlaluan dan boleh mengelirukan rakyat.

Sementara itu ketika mengulas laporan akhbar hari ini mengenai kes anggota polis cedera di kepala akibat terkena tembakan rakannya yang juga anggota polis di Kuala Terengganu, Bakri berkata siasatan berhubung kejadian itu sedang dilakukan.

"Ini termasuk prosedur-prosedur yang dibenarkan untuk melepaskan tembakan...Kita mempunyai training (latihan) tertentu untuk menggunakan senjata api. Sama ada ia (kejadian) berlaku secara sengaja atau tidak, itu sedang kita lihat sekarang ini.

Sekiranya ada unsur kecuaian dalam kes ini, tindakan seterusnya akan diambil," katanya. Menurut laporan akhbar itu, mangsa, Konstabel Md Rudzki Mohd Rozlan, 20-an, terkena tembakan rakannya sendiri ketika mereka bersembang di rumah bujang kuarters Balai Polis Batu Rakit, Terengganu semalam.

Kejadian berlaku pukul 7.30 pagi ketika rakannya, dikatakan menutup semula tempat mengisi peluru pistol Smith & Wesson .38 yang dibawanya sebelum meletup tiba-tiba.

Peluru berkenaan menembusi kepala Md Rudzki melalui kening kiri menyebabkan berlaku pendarahan beku berhampiran otaknya sebelum serpihan peluru keluar melalui sisi kepala mangsa dan terlekat pada dinding rumah berkenaan.

Mangsa yang telahpun dibedah untuk mengeluarkan darah beku di kepalanya, kemudiannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dalam keadaan berbalut di kepala dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan