Calon BN Tenang Akan Diumum 19 Jan: Tengku Adnan

Diterbitkan: Sabtu, 15 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang akan diumum pada 19 Januari ini, kata Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Abdul Ghani Othman yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya BN di DUN itu sudah mengemukakan beberapa nama calon kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN, untuk dipertimbangkan.

Bagaimanapun Tengku Adnan enggan mendedahkan nama-nama calon yang tersenarai dan berharap semua pihak akan menunggu sehingga tarikh ia diumumkan, katanya kepada pemberita di sini hari ini ketika ditanya mengenai calon BN yang akan bertanding pada pilihan raya kecil itu.

"Abdul Ghani juga akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dalam tempoh terdekat bagi memuktamadkan nama calon BN untuk DUN Tenang dan saya yakin keputusan muktamad mengenai nama calon BN akan dibuat sebelum tarikh itu," katanya.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi DUN itu ditetapkan pada 22 Jan dan hari pengundian pada 30 Jan.

Ia diadakan berikutan kekosongan kerusi selepas kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha pada 17 Dis lepas akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis.

Tengku Adnan berkata, calon yang terpilih bagi mengisi kekosongan kerusi DU NTenang diharap mampu memberi kemenangan besar kepada parti, dapat diterima rakyat serta memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat tanpa mengira kaum.

Ditanya mengenai persiapan BN bagi menghadapi pilihan raya kecil itu, beliau berkata jentera parti telah membuat persiapan rapi untuk mempertahankan kerusi DUN Tenang serta meningkatkan jumlah majoriti undi.

"BN juga sudah menggerakkan semua 26 bahagian BN di Johor termasuk 50 anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan 25 anggota Parlimen untuk membantu jentera pilihan raya kecil itu," katanya.

Sementara itu, beliau enggan mengulas hasrat Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang menawarkan diri untuk berdebat dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung 'Pelan 100 hari' pembangkang.

Bagaimanapun beliau berpendapat pemimpin BN tidak perlu mengikut rentak politik parti pembangkang kerana ia akan mengundang banyak kesan buruk.

Sebelum ini Anwar mencabar Perdana Menteri untuk berdebat dengan beliau berhubung 'Pelan 100 hari' pakatan pembangkang jika mereka menang pada pilihan raya umum ke-13 dengan menjanjikan antara lainnya pemansuhan tol dan kenaikan elaun untuk guru.

Terdahulu Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya menyampaikan bantuan baja, peralatan berkebun, benih ikan keli dan traktor sumbangan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) kepada peserta Kebun Komuniti di Presint 9 di sini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan