Selangor Benar MPSJ Larang Pusat Hiburan Ambil Umat Islam Bekerja

Diterbitkan: Jumaat, 14 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Selangor tidak menghalang Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menguatkuasakan peraturan melarang umat Islam bekerja di pusat-pusat hiburan di kawasan pentadbirannya

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sehubungan itu pihaknya akan berbincang dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk bersama-sama menubuhkan satu tabung khas demi membantu pekerja beragama Islam yang sedar untuk meninggalkan pekerjaaan di premis-premis dan pusat hiburan yang menjual minuman keras.

""Kami menghormati Enakmen Jenayah Syariah yang bertujuan memelihara umat Islam untuk mencari rezeki yang halal; pada masa yang sama, sebagai kerajaan prihatin dan adil, kita perlu memberi tempoh yang cukup kepada semua pihak termasuk pemilik premis dan pekerja yang terlibat.

"Kami telah meminta ahli Exco negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, Yaakob Sapari, Dr Halimah Ali dan Rodziah Ismail untuk menubuhkan satu sekretariat yang akan mengadakan perjumpaan dengan LZS bagi membincangkan isu ini," katanya dalam satu kenyataan di sini Jumaat.

Beliau mengulas kontroversi peraturan baru MPSJ itu yang akan dikuatkuasakan sebagai syarat baru kepada pusat-pusat hiburan yang menyajikan arak supaya tidak menggaji pekerja Islam.

Peraturan baru itu diluluskan oleh Mesyuarat Majlis MPSJ pada Jun 2009 selaras dengan Seksyen 18 (2) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Di bawah peraturan berkenaan, pusat hiburan yang ingkar akan didenda sehingga RM5,000.

Penguatkuasaan peraturan itu mengakibatkan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri, Ronnie Liu melenting dan mengarahkan MPSJ menangguhkan arahan itu semalam.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata, Kerajaaan Selangor prihatin dengan perbincangan mengenai pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah yang tidak membenarkan umat Islam bekerja di premis-premis dan pusat hiburan yang menjual minuman keras.

"Kerajaan Negeri sedar kebanyakan orang Islam yang bekerja di tempat sedemikian membuat keputusan tersebut atas sebab ekonomi. Oleh itu, tabung ini akan memainkan peranan agar mereka tidak akan terbeban dengan penguatkuasaan undang-undang ini," ujarnya.

Sehubungan itu beliau akan mengadakan pertemuan dengan semua Datuk Bandar dan Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan Isnin depan untuk mendapat pandangan mereka bagi memastikan penguatkuasaan Enakmen tersebut dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan