PAS Sukar Menangi Kerusi Pilihanraya Negeri Sarawak

Diterbitkan: Jumaat, 14 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak yakin parti pembangkang, PAS akan gagal dalam cubaannya untuk memasuki kancah politik Sarawak dalam pilihan raya negeri akan datang.

Naib Presiden PBB, Datuk Daud Abdul Rahman berkata PBB masih menerima sokongan padu rakyat di kawasan yang majoriti penduduknya beragama Islam dan dakwaan parti pembangkang itu kononnya mempunyai peluang lebih cerah kerana PBB tidak mendapat sokongan pengundi Islam tidak benar.

Daud, yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) berkata, pengundi di Sarawak bijak untuk memilih siapa wakil mereka dalam pilihan raya kelak.

"Berdasarkan maklum balas yang diterima, kami yakin PBB kekal relevan untuk pengundi Islam di Sarawak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan zakat perniagaan sebanyak RM336,160 oleh Bernas kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) di sini.

Anggota Lembaga Pengarah Bernas, Datuk Azizan Ayob menyampaikan cek kepada Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud di pejabat Ketua Menteri di sini.

Baru-baru ini, dilaporkan PAS membayangkan akan bertanding di enam kerusi Dewan Undangan Negeri yang majoriti penduduknya Melayu, terutamanya di kawasan pantai.

Daripada enam kerusi itu, PAS mendakwa boleh memenangi kerusi Sadong Jaya, Beting Maro dan Sebuyau.

Pada pilihan raya negeri Mei 2006, PBB memenangi kesemua 35 kerusi ditandinginya termasuk 27 kawasan majoriti Melayu, manakala Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) 11 kerusi, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) masing-masing memenangi lapan kerusi.

Barisan Nasional (BN) Sarawak memenangi 62 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya negeri itu. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan