Pakatan Pembangkang Sekadar Bijak Tabur Janji

Diterbitkan: Jumaat, 14 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat hanya bijak menabur janji kepada rakyat tanpa berpijak kepada asas yang kukuh dalam pelan 100 hari yang dicanang mereka.

Pengerusi Parti Keadilan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim berkata, rakyat perlu diberi gambaran penuh mengenai implikasi yang bakal mereka hadapi sekiranya mahu menerima pelbagai kemudahan secara percuma.

Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan itu berkata, sebagai parti yang bertanggungjawab, KITA tidak berpegang kepada prinsip untuk tidak menabur janji tanpa asas.

"KITA tidak akan berjanji untuk memberi itu dan ini secara percuma kepada rakyat tanpa turut memberitahu rakyat beban baru yang perlu mereka pikul ekoran daripadanya.

"Kenyataannya, dalam dunia kewangan ini tidak ada yang percuma. Kemudahan yang diberi percuma mesti dibiayai oleh pihak lain, seperti melalui percukaian dan sebagainya.

"Gambaran yang penuh mesti diberi. Sumber baru kewangan mesti dicari dan diusahakan. Inilah tindakan parti yang lebih bertanggungjawab," katanya di sini, Jumaat.

Baru-baru ini Pakatan Rakyat menabur pelbagai janji yang disifatkan banyak pihak sebagai populis menerusi 'Pelan 100 hari' mereka tanpa membentangkan sumber kewangannya untuk melaksanakan pembangunan rakyat.

Antara yang dijanjikan pembangkang dalam pelan tersebut ialah mahu menghapuskan kutipan tol di semua lebuh raya di negara ini sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Menerusi entri terbaru blognya, www.zaiduntukrakyat.com, Zaid menegaskan bahawa parti baru yang diterajuinya itu memperjuangkan prinsip dan dasar yang berbeza daripada PKR.

Katanya KITA akan berperanan sebagai sebuah parti pembangkang yang bertanggungjawab demi kebaikan rakyat.

"KITA tidak akan membantah semata-mata kerana dasar dan cadangan itu datangnya dari kerajaan.

"KITA akan menjadi pengkritik yang membina dan tertumpu pada isu-isu yang boleh memperbaiki kepentingan rakyat," katanya sambil menambah bahawa parti itu tidak akan menumpukan kepada masalah peribadi pemimpin ataupun menyerang hal-hal yang tidak mempunyai dasar fakta yang jelas.

Selain itu jelas beliau, KITA tidak akan menjadi parti politik yang hanya mengampu atau menentang semata-mata tanpa hujah yang kukuh.

"KITA tidak mahu berpolitik secara agresif dan selalu melawan, atau yang hanya tahu menentang sahaja.

"KITA akan berusaha untuk menjuruskan ke arah cara berpolitik yang lebih sihat, berdialog dan mencari konsensus secara baik," katanya.

Tambah beliau beliau, KITA akan memperjuangkan kepentingan penggunaan bahasa Inggeris kepada rakyat demi masa depan negara ini.

"KITA akan memperjuangkan penggunaan bahasa Inggeris yang lebih berkesan dan meluas. KITA ingin melihat kaum bumiputera lebih berupaya mencari ilmu dengan penguasaan yang lebih meluas di dalam bahasa itu.

"(Datuk Seri) Anwar Ibrahim akan berdiam diri kerana isu ini boleh menghilangkan sokongan pengundi, tetapi KITA tidak takut kehilangan undi kalau perkara itu penting untuk rakyat negara ini," katanya.

Sementara itu Zaid berkata beliau akan memperkenalkan pendirian, rangka dan imej parti barunya itu pada 19 Januari ini dan pada yang sama akan menghuraikan intipati serta prinsip perjuangan KITA.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan