469,500 Tempat Untuk Pelajar Lepasan SPM Lanjut Pengajian

Diterbitkan: Jumaat, 14 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 469,500 tempat disediakan untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan yang setaraf melanjutkan pengajian mereka ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata selain daripada IPT Awam, pelajar juga berpeluang melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi Swasta, Tingkatan Enam, Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia dan program persediaan ke luar negara secara tajaan.

Katanya bagi mereka yang tidak mencapai keputusan yang baik dalam SPM, mereka sewajarnya memilih untuk menyambung pengajian bagi mendapatkan sijil di institusi-institusi kemahiran sama ada awam, swasta mahupun di Kolej Komuniti.

"Apabila Kementerian Pengajian Tinggi melalui Unit Pusat Universiti diberikan tanggungjawab untuk mengkordinasi dalam soal permohonan kemasukan pelajar termasuk ke institusi latihan, kita boleh melihat dan membuat perancangan bagi mereka yang tidak mendapat keputusan baik dalam SPM, kita boleh tampung melalui penyediaan mereka untuk mendapatkan sijil kemahiran.

"Dengan demikian kita dapat mengatasi masalah yang dihadapi negara di mana ramai pelajar masuk pasaran kerja hanya berbekalkan SPM. Tetapi sekarang kita mahu buat perancangan supaya pelajar ini dibekalkan dengan sijil kemahiran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian 'Karnival Jom Masuk U' oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata kementerian sedang merancang untuk mengarusperdanakan program pengajian diploma di IPTA sebagai usaha untuk memperkasakan program diploma sebagai satu pilihan pelajaran lulusan SPM atau yang setaraf untuk melanjutkan pelajaran mereka.

Beliau berkata kementerian akan menyediakan pembekal bagi melahirkan graduan berkemahiran teknikal dari universiti-universiti teknikal selain memartabatkan program diploma dengan mendapatkan pengiktirafan daripada badan profesional dalam dan luar negara.

Selain itu, katanya beberapa cadangan pelaksanaan sedang dikaji antaranya memperkenalkan program-program baru di IPTA dan Politeknik.

"Saya berharap dengan adanya program-program baru yang mesra pasaran ini, minat pelajar semakin bertambah untuk memilih pengajian diploma," katanya.

Kira-kira 40,000 pengunjung terutama pelajar dijangka menghadiri karnival selama dua hari itu yang melibatkan 20 buah IPTA dan beberapa institusi swasta.

Selain Terengganu, karnival seumpamanya akan diadakan di 10 lokasi lain mengikut zon yang dikenal pasti di seluruh negara sehingga 3 April depan, dengan upacara penutup disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di The Mines International Exhibition Centre, Sri Kembangan, Selangor. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan