Tenang Jadi Medan Pertarungan Dua Chua

Diterbitkan: Khamis, 13 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Johor kawasan Tenang 30 Januari ini dijangka turut menjadi medan pertarungan dua tokoh politik bernama Chua untuk membuktikan kehebatan masing-masing dalam memenangi hati pengundi Cina walaupun kedua-dua bukan calon.

Tentunya, melalui pilihan raya kecil ini, banyak pihak ingin melihat sejauh mana kepintaran Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan bekas Naib Presiden MCA Datuk Chua Jui Meng, yang kini menyertai pembangkang dan menjadi naib presiden Parti Keadilan Rakyat, dalam menarik pemilih Cina supaya mengundi calon yang mereka sokong.

Seperti yang diketahui umum, MCA kini menggalas bebanan berat untuk memastikan pengundi Cina kembali menyokong Barisan Nasional (BN) bagi memulihkan imejnya yang tercalar teruk pada pilihan raya umum 2008.

Kebanyakan penganalisis politik yakin kedua-dua Chua itu akan berusaha habis-habisan untuk memastikan pengundi Cina memberi sokongan kepada parti pimpinan mereka, hinggakan sesetengah mereka menyifatkan pilihan raya kecil Tenang sebagai "Pertarungan Antara Dua Chua".

Oleh kerana sebahagian besar undi pemilih Melayu di Tenang boleh dikatakan sudah berada di tangan BN, maka tugas utama kedua-dua tokoh politik itu ialah untuk mendampingi dan cuba mengukur selera masyarakat bukan Melayu di kawasan berkenaan, yang merangkumi 52 peratus daripada keseluruhan 14,592 pengundi kerana ia boleh memberi bayangan tentang kecenderungan pengundi kaum Cina dan India pada pilihan raya umum akan datang.

Tenang mempunyai pengundi yang terdiri daripada 39 peratus kaum Cina, 12 peratus India dan selebihnya Melayu.

Tenang adalah satu daripada dua kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Labis yang pernah diwakili Dr Chua sebelum ia dimenangi anak lelaki beliau, Tee Yong pada pilihan raya umum lepas. Sebelum diwakili Dr Chua, kerusi itu disandang bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.

Sejak mengambil alih teraju kepimpinan MCA pada Mac tahun lepas berikutan pemilihan semula barisan kepimpinan tertinggi parti itu, Dr Chua bekerja keras untuk memberi nafas baru kepada MCA dan berjaya memulihkan kestabilannya setelah dilanda krisis dalaman selama satu tahun setengah.

Bagaimanapun, beberapa pemerhati politik berpendapat ujian paling besar bagi Dr Chua ialah mendepani pilihan raya kecil ini kerana ia diadakan di kubu kuat beliau.

Pilihan raya kecil pertama yang dihadapi Dr Chua sebagai Presiden MCA ialah pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor, yang diadakan tidak sampai dua minggu selepas beliau mengambil alih jawatan itu ketika sokongan masyarakat Cina terhadap BN berada pada paras paling rendah dalam sejarah pilihan raya di negara ini.

Bagaimanapun, keadaan bertambah baik pada pilihan raya kecil Galas di Kelantan dan Batu Sapi di Sabah apabila sokongan pengundi Cina kepada BN telah meningkat.

Pada pilihan raya kecil Tenang, pakatan PKR-DAP-PAS sudah pasti mengharapkan sesuatu yang besar daripada Chua, yang pernah menyandang jawatan Menteri Kesihatan.

Beberapa penganalisis politik percaya Chua akan berusaha habis-habisan untuk membuktikan bahawa beliau masih mempunyai banyak penyokong di negeri kelahirannya dan meleburkan strategi BN untuk mengekalkan kerusi itu.

"Semua orang tahu memang sukar untuk menawan Tenang daripada BN tapi matlamat pakatan pembangkang ialah untuk mengurangkan majoriti BN dan ini sudah cukup baik untuk kami," kata satu sumber dalam PKR.

Kedua-dua Chua itu dijangka memberi fokus di kawasan majoriti pengundi Cina seperti Bandar Labis Timor, Bandar Labis Tengah dan Labis di mana pada pilihan raya umum lepas, calon PAS memperoleh antara 50 peratus dan 67 peratus undi kaum Cina.

Mengenai undi kaum India pula, keputusan pilihan raya umum lepas menunjukkan bahawa BN dan pembangkang memperoleh jumlah yang lebih kurang sama apabila BN mendapat 67.9 peratus undi di Ladang Bukit Dato di mana 46.6 peratus pemilih terdiri daripada kaum India, manakala di Ladang Labis Utara yang mempunyai 71.7 peratus pengundi India, BN dan pembangkang masing-masing mendapat 50 peratus daripada jumlah undi.

Bagaimanapun, pada pilihan raya kecil ini, pola pengundian dalam kalangan pengundi bukan Melayu mungkin berubah berdasarkan keputusan pilihan raya kecil Galas dan Batu Sapi yang menyaksikan jumlah undi yang diberi pemilih Cina kepada BN telah meningkat.

Pengerusi DAP Johor Dr Boo Cheng Hau berkata cabaran paling besar bagi pakatan pembangkang ialah untuk mendapatkan keyakinkan kaum Cina berhubung isu negara Islam kerana analisis menunjukkan bahawa pada pilihan raya umum 2008, pengundi Cina menyokong DAP di Labis tetapi tidak memberi undi mereka kepada PAS di Tenang.

"Di peringkat Parliamen, kira-kira 70 peratus pemilih di kawasan Tenang mengundi DAP dan bukan MCA. Tetapi di peringkat negeri, hanya 58 peratus daripada mereka mengundi PAS. Arah aliran ini juga sama dalam kalangan pengundi India," katanya.

Beberapa penganalisis politik berkata mereka tidak akan terperanjat sekiranya MCA mengambil kesempatan daripada populariti Dr Chua dan memanfaatkan undi penyokong tegarnya di tiga kampung baru Cina di Tenang untuk meraih lebih banyak undi daripada bukan Melayu.

"MCA berharap mereka dapat mengulangi kejayaan di Galas, yang menyaksikan peningkatan undi kaum Cina, khususnya di kampung baru yang menjadi kawasan penting bagi DAP. Profil Galas dan Tenang hampir sama," kata seorang penganalisis.

Kerusi Tenang kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha daripada BN akibat komplikasi daripada penyakit kencing manis pada 17 Disember tahun lepas.

Penamaan calon ialah pada 17 Januari dan pengundian pada 30 Januari. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan