Pasangan Diberi PR Jika Rakyat Malaysia Kembali Berkhidmat Di Tanah Air

Diterbitkan: Khamis, 13 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BOSTON: Lelaki atau wanita asing yang berkahwin dengan rakyat Malaysia akan diberi status pemastautin tetap (PR) jika isteri atau suami mereka itu kembali berkhidmat di tanah air sendiri.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah itu adalah sebahagian daripada insentif yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk memastikan Malaysia mencapai matlamat menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Katanya kerajaan kini lebih terbuka dalam memberi status PR, dan langkah itu bukan saja terhad kepada mereka yang bertaraf profesional tetapi juga kepada yang lain.

"Namun, mereka ini haruslah layak dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara. Mereka hendaklah mempunyai kebolehan yang diperlukan oleh Malaysia," katanya ketika menjawab soalan pada jamuan malam bersama penuntut dan masyarakat Malaysia di sini malam Rabu.

Muhyiddin yang diiringi isteri, Tan Sri Norainee Abdul Rahman, berada di Amerika Syarikat untuk lawatan enam hari ke Boston dan Washington.

Muhyiddin berkata bahawa baru-baru ini kerajaan menawarkan status PR kepada beberapa ketua pegawai eksekutif asing.

"Mereka ini terkejut apabila menerima tawaran daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak)," katanya.

Menjawab soalan lain, Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan menyediakan pelbagai insentif dalam usaha menarik golongan profesional rakyat Malaysia untuk bekerja di tanah air.

Katanya penubuhan Talent Corporation Malaysia Berhad adalah untuk memudahkan proses membawa balik lebih 70,000 rakyat Malaysia yang berkhidmat di luar negara.

Dalam ucapannya pula, Muhyiddin berkata Malaysia sedang bergerak ke arah yang betul dan memerlukan sokongan padu rakyat bagi membantu kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju dan makmur.

Beliau menyeru rakyat Malaysia yang berbakat dan yang tinggal di Amerika Syarikat supaya kembali ke tanah air untuk sama-sama menyumbang kepada pembangunannya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan