Kadar Baru Perayauan Mudah Alih Malaysia-Singapura Diputuskan Dua Bulan Lagi

Diterbitkan: Khamis, 13 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Singapura dijangka menetapkan kadar baru caj perayauan mudah alih bagi perkhidmatan di antara kedua-dua negara dalam tempoh dua bulan lagi.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata pada dasarnya pihak industri di kedua-dua negara sudah bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan.

"Dalam masa dua bulan isu berhubung perkara ini dengan Singapura, akan dapat diselesaikan kerana pihak industri sudah bersetuju dasarnya. Kadar munasabah bagi perayauan mudah alih antara kedua-dua negara akan diumumkan nanti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat (Telmin) ke-10 di sini, Khamis.

Malaysia dan Singapura sebelum ini membentang cadangan supaya perkhidmatan perayauan mudah alih di antara kedua-dua negara diturunkan 30 peratus bagi panggilan suara dan 50 peratus bagi khidmat khidmat pesanan ringkas (SMS) dalam usaha meningkatkan lagi hubungan.

Cadangan itu dibentang kepada pengendali telekomunikasi di kedua-dua negara oleh badan kawal atur kedua-dua negara iaitu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Infokom Singapura (IDA).

Sementara itu Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kesenian Singapura Lui Tuck Yew semasa mengulas perkara itu berkata rancangan untuk mengurangkan caj perayauan mudah alih bermula sebaik sahaja pengendali perkhidmatan menetapkan segala perincian mengenainya, dan pihak kawal atur dapat menyelaras operasi.

Beliau berkata ia membabitkan tiga syarikat pengendali telekomunikasi utama di Singapura iaitu -- Singtel, M1 dan Starhub.

"Saya percaya semua syarikat utama itu akan menjadi sebahagian daripada inisiatif ini," katanya.

Lui berkata tujuan utama inisiatif ini adalah untuk memberi manfaat kepada pengguna, terutama apabila terdapat perkembangan ketara dalam teknologi dan perhubungan semasa rakyat antara Malaysia dan Singapura.

Katanya ia juga akan menguntungkan industri terbabit, di mana saiz penggunaannya dijangka meningkat apabila caj dikurangkan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan