Jepun Berminat Mempelajari Kemudahan ICT Di Putrajaya

Diterbitkan: Khamis, 13 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Hal-Ehwal Dalaman dan Komunikasi Jepun Yoshihiro Katayama berkata negaranya boleh mempelajari pengalaman Malaysia membangunkan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran pintar, dilengkapi kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

Katanya kerajaan Jepun sedang dalam proses memindahkan beberapa jabatan kerajaan pusat ke lokasi baru jauh dari Tokyo.

"Bagaimanapun ia tidak berjalan lancar sebagaimana yang dirancang, tetapi di Malaysia pusat pentadbiran baru berpindah mengikut jadual," katanya pada sidang akhbar di luar Mesyuarat Menteri-menteri Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat Asean ke-10 (TELMIN) di sini Khamis.

"Saya percaya Jepun boleh mempelajari banyak perkara dari Malaysia bagaimana membangunkan bandaraya baru yang dilengkapi dengan kemudahan ICT," katanya.

Berhubung perkara lain, Katayama berkata Jepun berminat menawarkan bantuan kepada Malaysia mengenai pencegahan bencana dan langkah-langkah pemulihan selepas bencana.

"Jepun telah menempuh pelbagai bencana alam pada masa yang lepas... sehubungan itu kami mempunyai banyak teknologi yang boleh disalurkan," katanya.

Beliau berkata Jepun juga boleh membantu Malaysia dalam pengurusan air, dengan berkata negaranya mempunyai teknologi pengurusan air terkini menerusi aplikasi ICT.

Mesyuarat dua hari yang bertemakan 'ICT: Positioning Asean for the Future' itu bertujuan memperkukuhkan hubungan telekomunikasi serantau.

Asean terdiri daripada Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan