Asean Perlu Berada Dalam Arus Perdana Kemajuan ICT - Najib

Diterbitkan: Khamis, 13 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata adalah penting bagi Asean berada dalam arus perdana kemajuan teknologi komunikasi maklumat global.

Perdana Menteri berkata ICT merupakan alat asas yang dimiliki oleh negara-negara anggota yang boleh digunakan bagi memantapkan pertubuhan itu, dengan membantu bidang komunikasi, bertukar-tukar pendapat dan meningkatkan hubungan dua hala dan antara rakyat.

Berucap merasmikan Mesyuarat Menteri Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat Asean (TELMIN) ke-10 di sini hari ini, beliau berkata bagi kebanyakan negara Asean, hubungan komunikasi antara mereka masih menjadi satu cabaran kerana, untuk menyediakan rangkaian jalur lebar yang moden, ia memerlukan pelaburan yang besar.

Pada masa ini, hubungan komunikasi antara sesebuah negara Asean kebanyakan disalurkan dahulu ke Amerika Syarikat atau Eropah sebelum disambungkan kembali ke sebuah negara Asean yang lain.

"Sebagai jalan keluar, saya cadangkan TELMIN menimbang untuk menggunakannya sumber untuk meningkatkan hubungan dalam Asean bagi mengurangkan kos penyediaan cakupan jalur," katanya.

Najib berkata jika negara-negara Asean mampu melakukan ini, jalinan komunikasi sesama Asean akan bertambah baik, begitu juga dengan peluang bagi meningkatkan lagi bahan kandungan berasal dari Asean dan nilai produk dan perkhidmatan ciptaan Asean.

"Asean tidak boleh ketinggalan daripada kemajuan ICT jika ia mahu menjadi rantau yang menarik untuk perniagaan dan perdagangan.

"Jika ini adalah Abad Asean, maka Asean harus menjadi saluran utama bagi perdagangan dan pelaburan di benua ini," katanya.

Perdana Menteri mengingatkan negara-negara Asean bahawa dalam kesungguhan memajukan ekonomi masing-masing, mereka tidak harus lupa mengenai cabaran baru yang timbul daripada kemajuan ICT seperti kemunculan penjenayah siber yang merupakan satu risiko besar kepada mana-mana negara atau kerajaan.

"Kita perlu meningkatkan kemampuan kita untuk memastikan kerajaan dan pegawai-pegawai penguatkuasa undang-undang sentiasa lebih peka terhadap ancaman siber sedia ada dan yang mungkin timbul," katanya.

Najib berkata negara-negara Asean harus mengkaji etika penggunaan Internet kerana rakyat dan generasi masa depan perlu dididik supaya menggunakan komunikasi dan ICT dengan cara yang bertanggungjawab.

"Dalam soal ini, nilai dan budaya ketimuran kita harus diutamakan.

"Saya percaya bahawa dalam melaksanakan kemajuan ICT, apa yang penting ialah kita tidak lupa asal usul dan nilai budaya kita," katanya.

Mengenai pelan induk ICT Asean, beliau berharap anggota TELMIN memberikan komitmen sepenuhnya untuk melaksanakannya.

Najib berharap Asean, yang telah mencapai pelbagai kejayaan sejak penubuhannya empat dekad yang lalu, akan terus menyesuaikan diri dengan perubahan masa untuk sentiasa menjadi satu kumpulan yang berkesan dan relevan.

"Sama ada dalam ICT atau bidang lain yang membabitkan kerjasama negara anggota, kita perlu berusaha untuk menjadi kumpulan serantau yang terbaik daripada segi memberi nilai kepada penduduk Asean," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan