Agihan Adil Penting Basmi Kemiskinan - Raja Nazrin

Diterbitkan: Khamis, 13 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah Sultan Azlan Shah bertitah masalah kemiskinan di kalangan rakyat tidak akan dapat diatasi hanya dengan perangkaan-perangkaan positif jika elemen pengagihan bantuan tidak dibuat secara adil.

Titah baginda, usaha memerangi kemiskinan sukar dilakukan jika bantuan hanya tertumpu kepada sekumpulan kecil dan di satu-satu kawasan sahaja.

Program pembasmian kemiskinan, titah baginda, perlu memberi impak berkesan sehingga golongan miskin benar-benar dapat keluar dari kepompong kemiskinan secara berkekalan.

"Realiti kesusahan rakyat tidak upaya diselimuti semata-mata dengan perangkaan-perangkaan positif jika elemen pengagihan tidak berlaku secara saksama, jika kekayaan berpusat kepada sekumpulan kecil dan kemewahan tertumpu kepada kawasan tertentu sahaja," titah baginda semasa merasmikan Persidangan Ke-174 Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak di sini.

"Perlu disedari dan lebih perlu ditafsirkan secara bijak, kesan dari kos sara hidup harian yang terus meningkat memungkinkan lahirnya kumpulan miskin baru dalam bentuk dan dimensi baru, lantas mencetuskan fenomena baru yang membawa program memerangi kemiskinan menghadapi sempadan baru," titah baginda.

Oleh yang demikian, menurut baginda, aspek kualiti program hendaklah lebih dititik beratkan berserta analisis yang lebih tepat untuk menilai impak keberhasilan program yang dilaksanakan.

Raja Dr Nazrin bertitah pada tahun lepas, MAIAMP telah menyalurkan sebanyak RM55.58 juta wang zakat dan jumlah penerima bantuan di bawah asnaf fakir dan miskin juga telah meningkat dari 4,208 orang pada 2009 kepada 5,746 orang tahun lepas.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM5.97 juta diluluskan untuk tujuan membina 162 rumah dan membaik pulih 192 rumah lain iaitu meningkat daripada RM3 juta yang diluluskan pada 2009, titah baginda.

"Dalam tahun 2010 juga, RM22.25 juta diperuntukkan di bawah asnaf fisabilillah yang telah memberi manfaat kepada 658 pelajar di luar negara dan 619 pelajar di dalam negeri disamping bantuan per kapita sekolah agama rakyat, bantuan masjid dan surau, elaun guru al-Quran, pembangunan modal insan serta insentif mubaligh," titah baginda.

Menurut baginda, program pembasmian kemiskinan hendaklah memberi impak besar lagi berkesan ke tahap berjaya memperkasakan golongan fakir miskin hingga benar-benar dapat keluar dari kepompong kemiskinan secara berkekalan.

"Dalam Persidangan-Persidangan Majlis kali ke-171, 172 dan 173, Beta berulang kali menyarankan agar dilakukan kajian komprehensif akan impak program zakat dari segi mengatasi dan menangani masalah kemiskinan dengan mengadakan program bersama Jabatan Agama Islam Perak menganjurkan bengkel perbincangan yang melibatkan penyertaan jawatankuasa masjid, wakil-wakil kariah dan generasi remaja untuk melakukan bedah siasat secara kritis, di samping meninjau cetusan idea baru dan program lebih inovatif,"titahnya.

Sehubungan itu, titah baginda, perancangan pembangunan ekonomi demikian juga perancangan pembangunan fizikal wajib diimbangkan dengan komponen perancangan pembangunan sosial.

Jika ia tidak dilakukan, program pembangunan akan menjadi tempang; akibatnya gejala dan masalah sosial kian meningkat, jenayah bertambah, kerukunan hidup terjejas, kestabilan politik sukar dicapai, tegas baginda.

Raja Dr Nazrin bertitah penyelesaian terhadap masalah kemiskinan penting dalam menangani isu pengangguran, keperluan asasi dan sosial merangkumi bantuan dalam bentuk perumahan, kesihatan, pendidikan, keselamatan dan pengangkutan awam serta isu ketelusan sistem pengurusan dan sistem keadilan.

Selain itu, perancangan dalam merencanakan pembangunan ekonomi, fizikal dan sosial juga harus diseimbangkan dalam menangani masalah kemiskinan agar tidak menjejaskan kestabilan politik, titah baginda. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan