Sarawak Dilanda Banjir 1,000 Penduduk Dipindahkan

Diterbitkan: Rabu, 12 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Lebih 1,000 orang daripada 250 keluarga di sini dipindahkan ke lima pusat pemindahan hari ini beberapa kawasan di sini dan di Bau dilanda banjir akibat hujan sejak malam tadi. Jurucakap Bilik Gerakan Negeri, berkata lima pusat pemindahan yang dibuka ialah Dewan Sinar Budi, Dewan Stapok, Balai Raya Taman Desa Wira, kawasan tanah tinggi di Kampung Batu Kitang dan Kampung Tengah Sungai.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan berkata taburan hujan yang luar biasa menyebabkan beberapa kawasan rendah di Kuching dan Bau ditenggelami air sehingga satu meter.

"Biasanya pada bulan Januari, Bahagian Kuching menerima taburan hujan antara 600 hingga 700mm tetapi semalam, dalam tempoh sembilan jam sahaja, taburan hujan telah mencecah 300mm. Keadaan ini dianggap tidak normal.

"Sekiranya hujan berterusan pada malam ini, ia akan menyebabkan banjir di kawasan-kawasan rendah," katanya kepada pemberita di sini, Selasa. Sebelum itu, Chan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bantuan dan Bencana Negeri, telah meninjau keadaan paras air Sungai Sarawak di Loji Rawatan Air Batu Kitang di sini.

Setakat ini, beliau berkata tiada sekolah ditutup berikutan banjir yang melanda Kuching.

Beliau berkata hujan "peringkat kuning" iaitu hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat yang turun dari semasa ke semasa dijangka berterusan bagi tempoh beberapa hari akan datang dan ia mungkin memburukkan keadaan.

"Kita bimbang banjir yang lebih buruk akan berlaku pada minggu depan, iaitu dari 20 hingga 24 Jan, jika berlaku fenomena air pasang besar. Jika hujan lebat berterusan dan diikuti dengan fenomena air pasang besar, banjir akan berlaku," katanya.

Chan menasihatkan penduduk di kawasan rendah dan berisko banjir mengambil langkah berjaga-jaga. Beliau berkata Majlis Keselamatan Negeri juga mengarahkan semua bilik gerakan banjir serta pusat pemindahan banjir diaktifkan dan bersedia sepenuhnya dan jabatan serta agensi menyelamat melakukan persediaan logistik.

Orang ramai diminta menghubungi Bilik Gerakan Negeri di talian 082-443991 dan 082-492148 sekiranya berlaku banjir di kawasan masing-masing. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan