Budaya 'Cantas' Penghalang BN Tawan Semula Kedah - Dr Mahathir

Diterbitkan: Rabu, 12 Januari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JITRA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Barisan Nasional (BN) mampu menawan semula Kedah sekiranya budaya 'cantas' dihapuskan pada kalangan pucuk pimpinan khususnya dalam Umno.

Beliau berkata selagi budaya itu subur dalam Umno Kedah, BN tidak akan berupaya memenangi semula negeri tersebut.

"Yang jadi masalah bila orang lain naik, yang tak naik cantas, bila yang tak naik ni naik, orang lain pula cantas dia, jadi tabiat ni patut dihapuskan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan jubli perak GiatMara di GiatMara Prima Kubang Pasu, di sini pada Rabu.

Bekas Presiden Umno itu berkata demikian ketika ditanya mengenai peluang B Nmerampas semula Kedah selepas rombakan badan perhubungan Umno negeri yang mana Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dilantik sebagai pengerusi dan anaknya Datuk Mukhriz menjadi timbalan pengerusi.

Mengulas pelantikan Mukriz, Dr Mahathir berkata beliau tidak campur tangan dalam karier politik anaknya itu.

"Waktu jadi perdana menteri dulu pun saya larang anak saya terlibat politik takut orang kata dia anak perdana menteri, dan sekarang ni bapa dia dah tak jadi perdana menteri pun, tapi masih tidak pernah campur tangan," katanya.

Sementara itu mengenai GiatMara, Dr Mahathir berkata organisasi itu harus mengembangkan sayapnya ke peringkat antarabangsa untuk mendapatkan kemahiran baru bagi pelatihnya.

Setakat ini katanya, beliau berpuas hati dengan prestasi organisasi itu yang telah banyak membantu golongan muda.

GiatMara ditubuhkan pada November 1986 dan sehingga kini terdapay 209 pusat di seluruh negara yang menawarkan pelbagai latihan kemahiran kepada belia. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan